Penghantaran Pulang Pelarian Myanmar Cerminkan Kepentingan Diplomasi - Pakar

Tahanan warga Myanmar dibawa pulang ke negara asal menggunakan kapal UMS Moattama milik Tentera Laut Myanmar di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini.
01/10/2026 03:01 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Penghantaran pulang fasa pertama 1,476 pelarian Myanmar ke negara asal mereka merupakan satu langkah besar Kerajaan MADANI dalam menangani isu kebanjiran pelarian dan pendatang asing yang menjadi antara kebimbangan rakyat Malaysia.

Pakar perang saraf dan penganalisis keselamatan serta politik Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata  pendekatan diplomasi yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi teras utama dalam merungkai isu pelarian secara tegas, tersusun dan berperingkat dengan mengambil kira kedaulatan undang-undang negara.

"Inilah diplomasi kepimpinan negara kuasa pertengahan ASEAN, diplomasi kemanusiaan dan keamanan serantau...usaha Perdana Menteri ini dilihat sebagai satu daripada teras utama dalam menyelesaikan isu pelarian Myanmar yang berlarutan selama ini," katanya kepada Bernama.

Pensyarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata pendekatan berkenaan penting bagi memastikan proses penghantaran pulang pelarian dilaksanakan secara sistematik, mengikut piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mengutamakan aspek kemanusiaan.

Sehubungan itu, Noor Nirwandy berkata Malaysia tidak harus terperangkap dengan tekanan atau propaganda pihak tertentu kononnya tindakan menghantar pulang pelarian itu bertentangan dengan nilai kemanusiaan.

Beliau berkata Malaysia bukanlah negara penandatangan Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 serta Protokol 1967 justeru perlindungan yang diberikan sebelum ini adalah semata-mata atas dasar ihsan kemanusiaan dan budi bicara, bukannya satu kewajipan perundangan.

Noor Nirwandy menyarankan kerajaan mengamalkan 'sistem kawalan dan penggiliran' terhadap pelarian bagi memastikan kestabilan sosioekonomi, demografi dan psikografi negara kekal terpelihara.

Beliau berkata sistem kawalan akan memastikan pelarian yang berada di negara ini sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak menjadikan Malaysia sebagai tempat melebarkan pengaruh ekonomi.

Katanya sistem penggiliran pula memberikan kefahaman jelas kepada generasi pelarian bahawa penempatan mereka bersifat sementara dan perlu bersedia dihantar pulang sebaik keadaan di negara asal bertambah baik.

Bagi Ahli Geostrategi dan Felo Kanan Akademik Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Dr Azmi Hassan, pendekatan dan hubungan kerja antara Anwar dan kepimpinan tertinggi Myanmar Min Aung Hlaing bukannya perkara baharu terutama ketika Malaysia menerajui rantau ini sebagai Pengerusi ASEAN 2025, di samping penyaluran bantuan kemanusiaan semasa bencana gempa bumi di negara itu sebelum ini.

Beliau berkata penghantaran pulang pelarian Myanmar pada Selasa lepas mencerminkan kesinambungan pendekatan diplomasi Perdana Menteri.

"Walaupun jumlah (penghantaran) fasa pertama ini relatifnya kecil berbanding keseluruhan jumlah pelarian di Malaysia, namun satu permulaan konkrit dan kali pertama berjaya dilakukan secara formal oleh negara ASEAN menerusi persetujuan dwipihak,” katanya.

Azmi berkata pelaksanaan program penghantaran pulang itu juga memanfaatkan situasi kerajaan Myanmar ketika ini yang amat memerlukan pengiktirafan keabsahan antarabangsa, khususnya dari negara-negara anggota ASEAN.

"Ia memberikan tekanan diplomasi yang wajar kepada Myanmar untuk meredakan konflik dalaman, mematuhi Pelan Konsensus Lima Perkara ASEAN dan seterusnya menerima serta mengiktiraf warga mereka semula," katanya.

Sehubungan itu beliau berharap langkah Malaysia menjadi pencetus kepada penyelesaian isu pelarian secara komprehensif pada peringkat serantau.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dalam kenyataan berkata perundingan dengan Myanmar memberikan saluran terbaik bagi mendesak pihak berkuasa negara itu bertanggungjawab dan menjamin perlindungan konkrit kepada mereka yang dihantar pulang, di samping memastikan keselamatan dan maruah pelarian sentiasa terpelihara.

Pada 29 Julai lepas, Anwar berkata Myanmar bersetuju untuk menerima semula kira-kira 5,000 tahanan warga Myanmar yang kini berada di Malaysia hasil rundingan dan hubungan baik antara Malaysia dan Myanmar.

Susulan itu, pada 30 Julai, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan proses mengenal pasti, dokumentasi dan membuat tapisan terhadap tahanan warga Myanmar sebagai persediaan penghantaran pulang.

Pada 29 Sept lepas, sebanyak 1,370 lelaki, 79 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara lapan hingga 60 tahun dihantar pulang menggunakan tiga kapal termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.

-- BERNAMA