Singapura Ikrar Tambahan S$30 Juta Perkukuh Keselamatan Siber ASEAN
Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 14 Okt (Bernama) -- Singapura mengumumkan komitmen tambahan sebanyak S$30 juta bagi tempoh lima tahun untuk memperkukuh usaha pembangunan keupayaan keselamatan siber serantau menerusi Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber ASEAN-Singapura (ASCCE).
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura Josephine Teo berkata komitmen baharu itu merupakan tambahan kepada komitmen S$30 juta (RM95.7 juta) yang telah dibuat Singapura bagi pembangunan keupayaan keselamatan siber serantau sepanjang lapan tahun lepas.
Teo berkata pelaburan itu akan menyokong usaha membangunkan keupayaan keselamatan siber dan memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara ASEAN ketika rantau ini berdepan ancaman siber yang semakin canggih serta peningkatan kesalinghubungan digital seiring dengan kemajuan kecerdasan buatan (AI).
"Fasa seterusnya ASCCE akan memberikan tumpuan lebih mendalam bagi mempersiapkan peserta dalam aspek tindak balas terhadap insiden, perlindungan infrastruktur kritikal, risiko siber berkaitan AI dan diplomasi siber.
"Ia juga akan bekerjasama dengan pihak industri dan akademia bagi memenuhi keperluan ASEAN yang sentiasa berkembang," katanya pada majlis pembukaan Persidangan Peringkat Menteri ASEAN mengenai Keselamatan Siber 2026 yang diadakan di sela-sela Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) 2026 pada Rabu.
Menurut Teo, pembangunan keupayaan keselamatan siber amat penting kepada agenda pendigitalan ASEAN kerana orang ramai dan komuniti perniagaan hanya akan menerima perkhidmatan digital jika mereka mempercayai sistem berkenaan.
"Mengekalkan kepercayaan itu memerlukan keupayaan keselamatan siber yang lebih kukuh di seluruh rantau ini, manakala sumbangan Singapura ini melengkapi mekanisme sedia ada ASEAN," tambahnya.
Sejak penubuhan ASCCE pada 2019, Singapura telah bekerjasama dengan lebih 40 rakan kongsi, termasuk Rakan Dialog ASEAN dan organisasi antarabangsa, bagi melaksanakan program pembangunan keupayaan keselamatan siber yang memanfaatkan lebih 2,200 peserta dari ASEAN dan luar rantau itu.
-- BERNAMA
