Lawatan Kukuhkan Aspirasi Hubungan Malaysia-China - TPM Fadillah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (Kredit: Pejabat Timbalan Perdana Menteri)
23/09/2025 04:57 PM

Daripada Rohani Mohd Ibrahim

BEIJING, 23 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata lawatan rasmi tujuh hari beliau ke China berjaya mengukuhkan komitmen kedua-dua negara ke arah hubungan lebih erat, kerjasama ekonomi serta pembangunan mampan.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata lawatan itu membawa manfaat nyata bukan sahaja kepada Malaysia dan China, malah juga kepada rantau ASEAN secara keseluruhan.

“Kerjasama ini diperkukuh melalui perdagangan, pelaburan, inovasi serta pertukaran antara rakyat yang menjadi tonggak kemakmuran bersama dan kestabilan serantau,” katanya pada sidang media penutup lawatan rasminya ke China hari ini.

Teks ucapan sidang media itu dikongsi kepada Bernama.

Beliau berkata kerjasama Malaysia dan China dalam bidang air, tenaga, dan pengurusan sisa merupakan langkah penting bagi mencapai pembangunan mampan.

Katanya melalui projek-projek rintis dan inovasi, Malaysia berhasrat untuk mengurangkan kos, mempertingkatkan kecekapan, serta memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara selari dengan agenda Malaysia MADANI.

Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Republik Rakyat China atas jemputan ke Pameran China-ASEAN ke-22 (CAEXPO) serta layanan mesra sepanjang keberadaannya di Nanning, Chongqing dan Beijing.

Lawatan beliau bermula di Nanning pada 17 Sept dengan menyampaikan ucaptama Malaysia pada majlis pembukaan CAEXPO dan mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden China, Han Zheng.

Beliau juga bertemu Pengerusi Kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Wei Tao, bagi membincangkan kerjasama dalam tenaga boleh baharu dan pengurusan sumber air.

Di Chongqing, Fadillah melawat syarikat terkemuka dalam sektor sumber air.

“Saya amat teruja dengan kemajuan teknologi China dalam mitigasi banjir, rawatan air dan sistem pengurusan mampan,” katanya.

Lawatan itu berakhir di Beijing dengan pertemuan bersama Naib Perdana Menteri China Liu Guozhong, serta sesi libat urus dengan syarikat tenaga utama China termasuk State Grid Corporation of China, China General Nuclear Power Corporation (CGNPC) dan China Energy Engineering Corporation (CEEC).

”Komitmen kepimpinan China dan semangat kerjasama sepanjang sesi libat urus ini menggambarkan keakraban, kepercayaan serta kepentingan strategik hubungan Malaysia-China,” katanya.

Menurut Fadillah, lawatan tersebut turut memperkukuh momentum hubungan peringkat tertinggi antara kedua-dua negara sebelum ini.

Dalam kerjasama sektor air, Malaysia dan China bersetuju meneroka kerjasama dalam pengurusan lembangan sungai, mitigasi banjir, konsep ‘Sponge City’ dan sistem air bersepadu.

Beliau berkata kepimpinan China dalam tenaga bersih membuka peluang kerjasama untuk memperkukuh Pelan Transformasi Tenaga Nasional (NETR) Malaysia.

Antara bidang kerjasama yang dikenal pasti ialah solar, hidro, teknologi nuklear, simpanan tenaga bateri dan penyelesaian hidro pam.

Di bawah Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut memacu Memorandum Persefahaman Dipertingkatkan (Enhanced MoU) mengenai ASEAN Power Grid sebagai langkah penting ke arah perdagangan kuasa pelbagai hala yang memberi manfaat kepada seluruh rantau.

-- BERNAMA