Bernama Komited Urus Pusat Media Antarabangsa AEM Ke-57 Berpandukan Pengalaman Sebelum Ini - KPE

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin (tengah) bersama Pengurus Kanan Bahagian Perhubungan Media dan Pengurusan Acara (MREM) Bernama Zaria Mohd Nasri mendengar penerangan daripada Timbalan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) Bernama Nor Baizura Basri ketika membuat lawatan dan memantau operasi petugas media di Pusat Media Antarabangsa (IMC), Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
23/09/2025 06:28 PM

Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) komited menguruskan Pusat Media Antarabangsa sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat berkaitan berbekalkan pengalaman luas mengendalikan pelbagai persidangan utama sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata pemilihan Bernama sebagai pelaksana dan pengendali pusat media bagi mesyuarat kali ini dibuat berdasarkan rekod prestasi kukuh agensi itu dalam menyediakan sokongan serta liputan yang komprehensif pada acara bertaraf antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, ditemui pemberita ketika melakukan lawatan ke Pusat Media Antarabangsa (IMC) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

“... mengambil kira pengalaman Bernama sendiri yang telah banyak membantu pelaksanaan penyediaan pusat media dalam beberapa mesyuarat utama sebelum ini, saya percaya Bernama dapat melaksanakan tugas ini dengan baik, dan juga dalam mengutip pengalaman lagi untuk kita bersiap sedia untuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN yang ke-47 pada bulan hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika melawat pusat media agensi itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia hari ini.

Nur-ul Afida berkata Bernama turut memainkan peranan penting dalam memastikan penyebaran maklumat yang tepat dan pantas sepanjang mesyuarat berlangsung termasuk penyediaan bahan berita, foto, serta rakaman video untuk kegunaan media tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin (dua, kanan) bersama Pengurus Kanan Bahagian Perhubungan Media dan Pengurusan Acara (MREM) Bernama Zaria Mohd Nasri mendengar penerangan daripada Timbalan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) Bernama Nor Baizura Basri ketika membuat lawatan dan memantau operasi petugas media di Pusat Media Antarabangsa (IMC), Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. Turut hadir Penulis khas Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, Mikhail Raj Abdullah (tiga, kanan). -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bernama adalah media rasmi dan penyelaras pusat media antarabangsa bagi AEM ke-57.

Lebih 300 petugas media tempatan dan antarabangsa telah berdaftar bagi membuat liputan mesyuarat berkenaan.

-- BERNAMA