Hubungan Lebih Erat Melalui AANZFTA, RCEP Perkukuh ASEAN Sebagai Tarikan Pelaburan

Shan Saeed
24/09/2025 12:27 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Hubungan ekonomi lebih rapat (CER) di antara ASEAN, Australia dan New Zealand diperkukuh menerusi rangka kerja seperti Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand  (AANZFTA) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang lebih meluas.

Rangka kerja ini mewujudkan kepastian kawal selia, kebolehjangkaan perdagangan dan daya tarikan pelaburan langsung asing (FDI).

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed memberitahu Bernama, integrasi serantau seperti ini memberikan pengimbangan risiko yang tepat seperti yang dicari para pelabur global dalam persekitaran yang tidak menentu pada masa kini.

“RCEP merangkumi kira-kira 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global meliputi 2.3 bilion penduduk, menyumbang hampir 28 peratus daripada perdagangan barangan dunia yang memberikan syarikat peraturan serta boleh diskala selain kumulasi asal (origin cumulation) merentasi rantau ini,” katanya.

Shan menekankan walaupun perjanjian dua hala akan terus menjadi instrumen sampingan, pusat graviti ASEAN terletak pada penyatuan serantau melalui AANZFTA dan RCEP, bukannya menerusi penyelarasan perjanjian sampingan yang bersifat sekali sahaja.

Beliau berkata AANZFTA yang dinaik taraf dan mula berkuat kuasa pada 21 April, 2025 bagi Malaysia, Australia dan New Zealand dapat mempermudah penggunaan keutamaan perdagangan dan meningkatkan kepastian dalam sektor perkhidmatan.

“Liberalisasi secara pragmatik, bukannya gimik semata-mata selain ia merupakan jalan untuk bergerak ke hadapan. Nantikan penambahbaikan dalam peraturan kumulasi asal, kemudahan perdagangan digital dan komitmen dalam sektor perkhidmatan.

"Ini merupakan langkah susulan yang semula jadi selepas penaiktarafan AANZFTA selain menjadikan akses pasaran lebih boleh diyakini dan lancar,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan ASEAN mencerminkan pragmatisme geoekonomi dan bukannya politik blok dengan kerangka ASEAN-CER-RCEP menginstitusikan jarak strategik yang seimbang.

Selain itu, katanya, ia mengurangkan geseran dari Barat dan China sambil mengekalkan keserasian ASEAN dan memposisikan Malaysia sebagai penghubung serantau.

“Skop luas RCEP dari segi populasi, KDNK dan bahagian perdagangan, tepat apa yang membolehkan modal dan rantaian bekalan dikurangkan risikonya tanpa perlu penjajaran berpihak,” tambahnya.

Shan turut menggariskan bidang pertumbuhan strategik lima tahun apabila Malaysia berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menerajui dalam tempoh lima tahun akan datang khususnya dalam sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik.

Selain itu, tenaga bersih dan bahan peralihan tenaga; pemprosesan mineral kritikal; perdagangan dan perkhidmatan digital serta rantaian nilai agromakanan halal.

Beliau menekankan Malaysia kini menyumbang kira-kira 13 peratus daripada ujian dan pembungkusan semikonduktor global dengan inisiatif semikonduktor negara menyasarkan untuk menarik pelaburan melebihi RM500 bilion dalam dekad ini, disokong oleh isyarat dasar yang jelas dan komitmen terkini.

Shan berkata penggabungan input sumber dari Australia dan New Zealand dengan kekuatan Malaysia dalam tenaga solar, infrastruktur grid serta logistik ammonia/hidrogen berpotensi mewujudkan rantaian bekalan nyahkarbon yang berdaya komersial, selaras dengan bab digital dan perkhidmatan AANZFTA yang dimodenkan.

Beliau turut berkata ekonomi internet ASEAN dijangka mencecah US$1 trilion menjelang 2030, sekali gus membuka peluang bagi eksport teknologi kewangan (fintech), perkhidmatan awan dan keselamatan siber Malaysia di bawah peraturan e-dagang yang dikemas kini.

Mengenai rantaian nilai agromakanan halal, Shan menjelaskan Malaysia boleh berperanan sebagai hab utama dengan menyalurkan produk makanan halal yang diperoleh melalui CER melalui sistem pensijilannya untuk eksport semula premium ke seluruh ASEAN dan memanfaatkan permintaan serantau yang semakin meningkat serta skala di bawah RCEP.

“Malaysia tidak mengejar ketidakstabilan tetapi merangka saling kebergantungan yang tahan lasak. Nexus ASEAN-CER-RCEP merupakan pelan tindakan yang boleh diskala untuk kemakmuran jangka panjang kita. Malaysia terus kekal menjadi tumpuan pelabur global,” kata Shan.

Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN dan sedang menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dari 22 hingga 26 September yang menghimpunkan menteri-menteri ekonomi dari seluruh rantau ini.

-- BERNAMA