MOSTI Anjur Sidang Kemuncak Syarikat Pemula Teknologi ASEAN 2025
PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensinya Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) hari ini melancarkan ‘Cradle LIVE! Startup ASEAN Summit 2025’, yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 Nov ini di Kuala Lumpur.
Berasaskan komitmen kolektif untuk membina ekosistem syarikat pemula (startup) ASEAN yang bersepadu, persidangan itu bakal menghimpunkan lebih 3,000 peserta termasuk syarikat pemula, pelabur dan penggubal dasar dalam kalangan negara anggota ASEAN (AMS) dan seluruh dunia.
Bertemakan 'Scaling Startups Beyond Borders' acara itu merupakan persidangan syarikat pemula teknologi pertama ASEAN yang diadakan di bawah Kepengerusian Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata syarikat pemula telah memainkan peranan penting dalam mencipta jutaan pekerjaan dan pemimpin teknologi masa depan, namun masih banyak yang berdepan halangan untuk berkembang merentasi sempadan.
“Sidang kemuncak ini ialah maklum balas kolektif untuk menurunkan halangan itu, untuk membina keyakinan dalam kalangan pelabur serantau dan untuk mendorong syarikat tempatan kita bertanding di pentas global,” katanya dalam ucapan pada pelancaran sidang kemuncak itu di sini, hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis, beliau berkata matlamat utama persidangan itu bukan untuk menjana keuntungan sebaliknya bertujuan menggalakkan kerjasama dan pertumbuhan serantau.
“Objektif utama bukan untuk meraih keuntungan, ia untuk menghubungkan semua syarikat pemula, pengasas, pemilik dan juga pelabur di bawah satu platform,” katanya ketika ditanya mengenai impak ekonomi menerusi persidangan itu.
Chang berkata sidang kemuncak itu melangkaui sempadan Malaysia dengan memudah cara rangkaian merentasi negara dan peluang pembiayaan iaitu menyediakan ruang kepada syarikat pemula untuk membina hubungan secara langsung dengan pelabur serantau manakala syarikat pemula berpangkalan di ASEAN boleh meneroka pasaran Malaysia serta sebaliknya.
“Jadi saya berpendapat ketersambungan dan juga rangkaian adalah penting, terutamanya kita melihat ASEAN sebagai sebuah rantau. Dan kita tahu pada masa kini banyak perkara menjadi lebih berciri tanpa sempadan termasuk ekosistem syarikat pemula.
“Syarikat pemula akan meraih manfaat daripada rangkaian melibatkan keseluruhan rantau ini, iaitu pelabur tidak lagi hanya melihat pada syarikat pemula domestik mereka tetapi mereka juga boleh meninjau syarikat pemula lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Norman Matthieu Vanhaecke berkata apa yang menjadikan sidang kemuncak tersebut unik ialah cara ia melibatkan pihak berkepentingan yang menguasai ekosistem ini (iaitu) pengasas, pembina dan pengambil risiko yang membentuk masa depan rantau kita.
"Kita bukan sahaja menyatukan mereka tetapi mengatur hubungan yang mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk dibina.
"Dengan menghubungkan syarikat pemula secara langsung dengan pelabur dan korporat serantau dan membuka pintu ke pasaran ASEAN baharu, sidang kemuncak ini direka untuk memberi pengasas momentum yang mereka perlukan untuk melangkaui sempadan, dan untuk menunjukkan kepada dunia apa yang boleh dilakukan oleh inovasi ASEAN," tambahnya.
Sidang kemuncak dibuka dengan IGNITE di Lembah Warisan, yang menonjolkan syarikat pemula tempatan Malaysia dan lebih 100 penerima program geran Cradle.
Pada hari kedua, CONNECT, mengubah JioSpace menjadi pasaran inovasi yang dinamik dan pada hari terakhir, ELEVATE di Zepp, menghimpunkan pakar dan cendekiawan Asia Tenggara menerusi syarahan, perbincangan, pameran dan persembahan bertaraf dunia.
Pendaftaran bagi sidang kemuncak itu telah bermula awal September ini dan peserta digalakkan mendaftar di www.cradle.com.my/cradlelive/ .
-- BERNAMA