AirAsia Sahkan Rundingan Beroperasi Di Vietnam, Perluas Jejak Di ASEAN
Oleh Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah milik Capital A Bhd, mengesahkan sedang berunding dengan rakan niaga tempatan di Vietnam yang menjadi sebahagian daripada usaha memperluas jejaknya di rantau ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Tony Fernandes berkata walaupun rundingan itu masih dijalankan, tiada sebarang perjanjian yang dimuktamadkan setakat ini.
“Ya, bukan satu rahsia lagi bahawa saya sudah lama berhasrat untuk beroperasi di Vietnam. Sebagai sebuah syarikat penerbangan ASEAN, adalah logik untuk kami bertapak di salah satu negara yang mempunyai potensi besar di rantau ini.
“Saya hanya dapat sahkan yang kami masih dalam proses perbincangan dengan satu kumpulan Vietnam, tetapi tiada apa yang dimuktamadkan setakat ini,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN 2025 di sini.
Setakat ini, AirAsia memperoleh sijil pengendali udara (AOC) untuk beroperasi di lima negara ASEAN, iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.
Jika cawangan di Vietnam dapat direalisasikan, ini menjadikan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah ketiga dalam pasaran berkenaan selepas Vietjet dan anak syarikat Vietnam Airlines, Pacific Airlines.
Mengulas selanjutnya, Fernandes berkata pada masa ini perbincangan untuk bertapak di Vietnam berjalan secara positif, namun turut mengingatkan mengenai kekangan yang boleh menjejaskan daripada peringkat rundingan kepada pelaksanaan.
“Bagaimanapun, saya jauh lebih optimis sekarang mengenai kemungkinan AirAsia untuk beroperasi Vietnam,” katanya.
Pada masa sama, syarikat penerbangan itu turut mengadakan perbincangan awal dengan Laos dan Brunei, sekali gus menjadikan hanya Myanmar dan Singapura sebagai dua pasaran ASEAN yang belum menjadi lokasi operasi AirAsia.
“Saya sentiasa berusaha untuk syarikat beroperasi di Singapura...bagaimanapun, saya rasakan yang kami sudah melupakannya,” katanya.
Beliau turut mengulangi hasrat untuk melihat AirAsia melebarkan sayapnya ke serata ASEAN sebelum berundur daripada jawatan itu.
“Impian saya sebelum melepaskan jawatan ini adalah untuk melihat syarikat berada di sebanyak mungkin negara-negara ASEAN. Saya amat berminat dengan Vietnam,” katanya.
-- BERNAMA