Australia Sasar Tingkat Perdagangan, Pelaburan Dengan ASEAN, Malaysia 

Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia Don Farrell
24/09/2025 04:33 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Australia sedang meningkatkan usaha untuk memperkasa hubungan perdagangan dan ekonominya dengan Asia Tenggara, dengan Malaysia memainkan peranan penting dalam usaha itu, kata Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia Don Farrell.

Beliau berkata ASEAN mewakili salah satu daripada rantau ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia, menawarkan peluang besar ketika beberapa negara menarik diri daripada perdagangan bebas dan adil.

Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia, Don Farrell, berkata Australia sedang meningkatkan usaha untuk memperkasa hubungan perdagangan dan ekonominya dengan Asia Tenggara, dengan Malaysia memainkan peranan penting dalam usaha itu.

“Kami berpendapat terdapat peluang untuk mengembangkan rangkaian kami di rantau ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Farrell berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57, dan beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan ekonomi Australia, tetapi juga mengulangi sokongan kukuh negara itu untuk rantau yang aman, stabil dan makmur. 

Beliau juga bakal mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi Eropah Maroš Šefčovič, dan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Jamieson Greer. 

Selain itu, Farrell berkata Australia telah meningkatkan kehadirannya di Asia Tenggara, termasuk Kuala Lumpur, berdasarkan cadangan daripada pemimpin perniagaan.

“Seorang ahli perniagaan Australia yang sangat dihormati mengesyorkan supaya kami meningkatkan usaha di Asia Tenggara, termasuk Kuala Lumpur. Dan, itulah yang telah kami lakukan. Dalam tempoh enam bulan pertama sahaja, kami telah melakukan perniagaan baharu bernilai ratusan bilion dolar. Kami fikir ia hanyalah permulaan,” tambahnya. 

Katanya, Australia turut mengambil kesempatan terhadap hubungan interpersonal dengan Malaysia, memandangkan ramai keluarga rakyat Malaysia telah menetap di Australia, untuk meningkatkan kerjasama dua hala.

Mengenai eksport pertanian dan makanan, Farrell menekankan bahawa reputasi kukuh Australia sebagai pembekal produk berkualiti tinggi yang boleh dipercayai bergantung sepenuhnya kepada peraturan biosekuritinya yang ketat.

“Salah satu sebab mengapa negara-negara seperti Malaysia dan Singapura membeli produk Australia ialah kerana ia bersih dan hijau.

“Kami perlu memastikan bahawa kami melindunginya,” katanya.

Farrell menegaskan walaupun Australia mengekalkan piawaian yang ketat untuk melindungi keunikan biodiversitinya, pasarannya tidak ditutup.

“Sebagai contoh, minggu lepas kami membenarkan Filipina mengekport pisang ke Australia buat kali pertama, dan kami baru sahaja membuat keputusan untuk membenarkan rakyat Amerika membawa daging lembu mereka ke Australia selepas ketiadaannya selama 20 tahun,” katanya.

Sementara itu, Farrell berkata kepelbagaian kekal sebagai strategi utama perdagangan Australia, dengan ASEAN berada di barisan hadapan dalam menawarkan peluang baharu.

“Sejak mengambil alih kuasa tiga setengah tahun lepas, kami telah melihat peluang baharu, dan kami sangat mendapati bahawa ASEAN menyediakan peluang baharu itu. Kami tidak melakukan secukupnya di ASEAN pada masa lampau, dan kami mahu melakukan lebih banyak lagi,” katanya, dan mengenal pasti perdagangan digital, mineral kritikal, dan industri didorong teknologi baharu sebagai bidang fokus utama dalam meningkatkan penglibatan Australia dengan rantau itu.

-- BERNAMA