Kesepaduan, Kepusatan ASEAN Tidak Boleh Dipandang Enteng - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa negara anggota memperkukuh kesepaduan serta kepusatan ASEAN bagi menangkis persaingan geopolitik semakin sengit dan cabaran serantau yang kompleks.
Dalam Syarahan Presiden dan Majlis Penganugerahan Grand Collar of the Order of Timor-Leste di Dili, Anwar menegaskan kesepaduan dan kepusatan ASEAN tidak boleh dipandang enteng.
"ASEAN telah menempuh pelbagai dugaan, namun pengajaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini menguatkan apa yang telah difahami oleh para pengasas kita dahulu iaitu kesepaduan dan kepusatan kita bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia telah mengalami pasang surut sepanjang hampir enam dekad kewujudan kita (ASEAN).
“Kesepaduan dan kepusatan ASEAN perlu dipertahankan dan diperkukuh secara berterusan. Sekiranya ASEAN berpecah, ia akan menghalang usaha bersama untuk mewujudkan sebuah rantau yang aman dan makmur,” kata beliau.
Anwar sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Timor-Leste bermula semalam, bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan menyokong penyertaan negara itu sebagai anggota ke-11 ASEAN.
Anwar berkata peningkatan jenayah rentas sempadan, persaingan sengit antara kuasa besar, ketidaksamaan ekonomi serta sikap berkepentingan dalam pelaksanaan undang-undang dan norma antarabangsa adalah cabaran besar yang memerlukan usaha gigih untuk ditangani.
"Rakyat Timor-Leste tidak perlu diajar tentang erti penindasan, penahanan, penganiayaan serta kekejaman dan pertumpahan darah kerana anda sendiri telah mengalami dan menanggung semua itu.
“Namun, anda juga telah bangkit dengan lebih kuat dan lebih tekad agar kekejaman seperti itu tidak berulang terhadap anda atau mana-mana golongan rentan,” kata Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Anwar berkata tema Pengerusi ASEAN Malaysia 2025, iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, mencerminkan visi yang berani dan mendesak bagi rantau ini, berdasarkan pendekatan yang saling bergantung antara satu sama lain.
“ASEAN perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam semua aspek kerjasama terutama dalam bidang keselamatan politik dan ekonomi yang kini semakin saling berkait. ASEAN tidak mampu untuk berdiam diri atau bersikap acuh tak acuh. Menerusi cara tersendiri, Malaysia telah mengambil seruan ini, dan saya berharap seluruh ASEAN akan memberi perhatian.
“Kita sentiasa mampu mengatasi cabaran dan mencapai kejayaan apabila kita bekerjasama. Bukan apabila kita saling bertelagah atau berusaha mengecualikan sesetengah pihak daripada kerjasama dan kemajuan. Kita berjaya bersama atau gagal bersama. Saya yakin pendekatan ini berlandaskan nilai-nilai yang dikongsi di sini, di Timor-Leste,” kata Anwar.
-- BERNAMA