Malaysia, ASEAN Kekal Komited Perdagangan Multilateral, Perkukuh Hubungan Dengan EU
Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Malaysia dan ASEAN meneguhkan komitmen terhadap perdagangan berasaskan peraturan dan multilateral, di samping memperkukuh kerjasama lebih erat dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam usaha memacu kemakmuran sejagat.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ASEAN, khususnya Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan EU untuk terus memantapkan dan menyelaraskan perdagangan mengikut perkembangan semasa.
"Dengan berganding bahu membina dunia yang lebih baik, kita boleh berkongsi kemakmuran ke seluruh dunia," katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Peniagaan ASEAN-EU ke-11, acara sampingan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 serta Mesyuarat Berkaitan.
Amir Hamzah berkata bagi mencapai matlamat itu pelbagai usaha perdagangan telah dipermudahkan dengan mengutamakan pengukuhan perdagangan antara negara ASEAN.
Antara inovasi utama adalah memudahkan sistem pembayaran tunai dan digital merentasi ASEAN.
“Usaha juga sedang dijalankan untuk menyelaraskan dan mengkoordinasi peraturan-peraturan dengan matlamat mewujudkan ASEAN yang lebih bersatu dan bersepadu, sekali gus memberikan kestabilan kepada rantau ini,” katanya.
Beliau berkata ASEAN juga kini dilihat berada di landasan untuk menjadi blok ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Amir Hamzah berkata Malaysia komited untuk memacu agenda transformasi ekonomi dengan keutamaan, termasuk mendapatkan mekanisme pembiayaan inovatif dan penyelesaian bagi menyokong inisiatif infrastruktur seperti Grid Kuasa ASEAN dan projek penangkapan serta penyimpanan karbon.
Landskap ekonomi Malaysia turut menunjukkan daya tahan melalui transformasi berterusan, satu kekuatan yang turut dapat dilihat di seluruh ASEAN, kata beliau.
Pada masa ini, EU kekal sebagai rakan ekonomi utama Malaysia dan ASEAN, dan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah US$45.33 bilion.
Selain itu, EU juga merupakan destinasi eksport keempat terbesar dan sumber import ketiga terbesar Malaysia.
“Malaysia terus menarik pelaburan langsung asing dari EU, khususnya dalam sektor pembuatan, teknologi hijau dan ekonomi digital.
“Dengan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU yang akan disambung pada November ini, kami menjangkakan peluang baharu dalam perdagangan digital, pemindahan teknologi hijau dan rantaian nilai lestari. Saya optimis perjanjian perdagangan ini akan dapat dimuktamadkan tidak lama lagi,” kata beliau.
-- BERNAMA