Switzerland Perhebatkan Usaha Perkukuh Hubungan Perdagangan Dengan ASEAN

26/09/2025 07:07 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Switzerland yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, sedang memperhebat usaha mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan ASEAN yang mana rantau itu menyasarkan untuk menjadi blok ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030.

Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Ekonomi Switzerland Helene Budliger Artieda berkata negara itu kekal komited terhadap sistem perdagangan pelbagai hala di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Sambil menekankan dasar negara itu sentiasa aktif terlibat dalam perdagangan di peringkat pelbagai hala, beliau berkata Switzerland telah berjaya membentuk perjanjian dua hala dengan negara-negara anggota ASEAN sejak beberapa bulan kebelakangan ini melalui Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA).

Beliau berkata di peringkat serantau, Switzerland berminat untuk mempelbagaikan hubungan perdagangan dan pelaburannya termasuk dengan ASEAN.

Negara itu akan mempertimbangkan untuk meneliti dengan lebih mendalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), selain perjanjian perdagangan serantau yang lain.

“Kedua-dua RCEP dan CPTPP kini telah dicadangkan secara aktif kepada kami. Kami akan memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan-cadangan ini.

“Kami di Switzerland mengamalkan demokrasi langsung. Kami perlu merujuk kepada parlimen dan juga kanton, iaitu peringkat kerajaan seterusnya untuk melihat sejauh mana terdapat kepentingan,” katanya sambil menambah perbincangan mereka mengenai CPTPP adalah sedikit lebih maju.

Artieda berkata demikian kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-57 dan mesyuarat berkaitan di sini hari ini.

Mengulas mengenai ketidaktentuan perdagangan global, setiausaha negara itu percaya meningkatkan hubungan perdagangan Switzerland-ASEAN adalah sangat penting, manakala syarikat-syarikat Switzerland melihat rantau itu sebagai alternatif strategik di tengah-tengah pemecahan geopolitik global.

Beliau menambah peranan ASEAN yang semakin berkembang sebagai hab pembuatan dunia turut mengukuhkan lagi daya tarikannya dan keupayaan rantau itu untuk menjadi tunjang rantaian bekalan antarabangsa menjadikannya pilihan semula jadi kepada syarikat-syarikat Switzerland.

“ASEAN amat penting bagi Switzerland. Melihat kepada saiz pasaran, terdapat begitu ramai penduduk di negara-negara ASEAN iaitu sekitar 680 juta orang. Ia merupakan populasi muda dan kesemua ekonomi ini mempunyai kadar pertumbuhan yang baik.

“Apa yang dilakukan dengan baik oleh ASEAN adalah menempatkan dirinya dengan cukup strategik di antara kuasa-kuasa geopolitik yang berbeza,” katanya.

Artieda berkata beberapa negara anggota ASEAN sebenarnya telah menjadi destinasi pelaburan pilihan bagi syarikat-syarikat Switzerland yang melihat rantau itu sebagai hab pembuatan global yang berpotensi.

“Anda bukan sahaja mempunyai pasaran yang hebat, anda juga mempunyai populasi muda yang penting kerana pengguna yang boleh kami libatkan sejak awal mungkin akan terus setia kepada produk dan perkhidmatan Switzerland,” katanya.

-- BERNAMA