ASEAN Kekal Sebagai Rantau Utama Perniagaan AS, Kata Majlis Perniagaan AS-ASEAN

Marc Mealy
29/09/2025 07:56 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Rantau ASEAN terus menjadi antara pasaran paling bernilai bagi perniagaan Amerika Syarikat (AS) walaupun dalam keadaan dasar perdagangan AS yang sedang mengalami perubahan, menurut Majlis Perniagaan AS-ASEAN.

Naib Presiden Eksekutifnya Marc Mealy berkata perniagaan pada masa ini mahukan lebih banyak kepastian, dan ketika negara-negara ASEAN sedang giat menjalinkan lebih banyak perjanjian perdagangan bebas dua hala, kerajaan AS telah mengambil pendekatan dasar perdagangan berbeza.

“Satu perkara yang saya boleh tekankan adalah Asia Tenggara kekal antara lokasi paling bernilai bagi perniagaan warga AS di seluruh dunia. Aspek ini tidak berubah meskipun dasar kerajaan AS berubah.

“Sejauh mana kedua-dua dasar ini dilaksanakan, pihak yang terlibat dalam perniagaan boleh menilai kedudukan mereka pada masa ini dan peluang sebenar yang ingin mereka teroka,” katanya dalam program ‘The Nation’ terbitan Bernama TV hari ini yang diadakan susulan berakhirnya Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57.

Menurut Mealy kebanyakan perniagaan AS menyedari kerajaan Asia Tenggara terus menjalin perjanjian perdagangan bebas dua hala dan plurilateral, dengan beberapa negara turut mempertimbangkan untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Kami menggalakkan langkah ini. Negara-negara di Asia Tenggara melihat nilai dalam mempelbagaikan perdagangan mereka, dan mahu memastikan pengeluar serta pengilang di rantau ini boleh bersaing di peringkat global.

“Dengan perubahan dasar perdagangan AS ketika ini, ini adalah masa terbaik bagi kerajaan seperti Malaysia untuk mempelbagaikan hubungan perdagangan mereka di mana-mana sahaja terdapat peluang untuk pengeluar dan pengilang mereka,” katanya.

Mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Mealy yakin lebih banyak perniagaan AS kini mula melihat dengan lebih serius langkah memanfaatkan perjanjian itu bagi memperluas aktiviti komersial di seluruh rantau Asia Pasifik.

Beliau berkata RCEP menawarkan peluang tambahan kepada syarikat AS yang beroperasi di Asia Tenggara memandangkan ia membuka akses pasaran yang lebih luas ke Jepun, China, Korea Selatan, New Zealand, dan Australia.

"Ia adalah kawasan perdagangan bebas utama yang besar dan menyediakan rangka kerja alternatif bagi semua perniagaan, membolehkan negara di Asia menjual barangan dalam persekitaran perdagangan bebas," katanya.

-- BERNAMA