Festival Taman Kuala Lumpur 2025 Tampil Lebih 100 Acara, Sasar 250,00 Pengunjung
KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Festival Taman Kuala Lumpur 2025 kembali memeriahkan Taman Tasik Titiwangsa bermula 17 hingga 26 Okt ini dengan lebih 100 acara berasaskan seni, budaya, gastronomi dan alam semula jadi.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata festival anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dibuka secara percuma dari 9 pagi hingga 11 malam dengan sasaran kehadiran lebih 250,000 pengunjung.
“Festival ini adalah jemputan terbuka untuk semua warga kota meraikan kepelbagaian, kreativiti dan inovasi. Ia bakal memperlihatkan bagaimana seni, budaya, makanan dan alam semula jadi boleh menyatukan masyarakat pelbagai latar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata edisi tahun ini mengetengahkan tema “ASEAN: Perpaduan dalam Kepelbagaian” dengan empat teras iaitu Kehidupan Lestari, Ekspresi Budaya, Penyertaan Komuniti dan Inovasi Berasaskan Alam.
Antara tarikan utama festival itu ialah Mistikal Titiwangsa, pengalaman interaktif yang menggabungkan elemen hortikultur teknologi visual serta kisah lagenda Malaysia seperti Puteri Gunung Ledang dan Si Tanggang.
Maimunah berkata festival itu turut membawakan persembahan KL Genta Festival Gendang dan tarian rentas budaya oleh kumpulan ASEAN, serta Fiesta Makanan Halal ASEAN yang menghimpunkan pelbagai hidangan unik dari negara anggota seperti Indonesia, Kemboja dan Thailand.
Edisi kali ini turut memperkenalkan segmen baharu seperti pertandingan reka bentuk taman balkoni inovatif, pameran seni alam sekitar berasaskan bahan semula jadi, persembahan landskap warisan negeri, serta konsep landskap kediaman lestari dengan Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi (NBS).
Pengunjung juga boleh menikmati bazar Pasaran ASEAN dengan lebih 100 gerai makanan halal, tumbuh-tumbuhan, seni dan kraf, selain aktiviti luar seperti glamping, sukan air, e-sukan dan permainan tradisional serta sesi perkongsian ilmu bersama pakar terkemuka tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, Maimunah memaklumkan “Tun Razak Exchange (TRX) ASEAN Unity Garden” akan dipamerkan sebagai satelit festival di daerah kewangan TRX, manakala Forum NBS Asia 2025 anjuran Institut Arkitek Landskap Malaysia dengan kerjasama DBKL akan memberi tumpuan kepada reka bentuk berdaya tahan iklim dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
Beliau berkata penganjuran berskala besar itu hanya dapat direalisasikan melalui sokongan lebih 40 rakan strategik dengan tajaan berjumlah RM1.195 juta oleh Aset Kayamas sebagai penaja utama, Sime Darby (perak), Mah Sing Properties, BSN dan TS Law Land (gangsa), serta penaja lain seperti KLCC Property Holding, Alliance Bank, GRAB, Mega Legacy dan YMWOO Cooperation.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan penaja yang ingin mengambil bahagian dalam festival berkenaan, selain berharap lebih ramai pengunjung hadir dan memeriahkan Festival Taman Kuala Lumpur 2025.
-- BERNAMA