Labuan IBFC Rai 35 Tahun Sebagai Hab Kewangan Serantau Strategik
LABUAN, 29 Sept (Bernama) -- Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) kini melakar satu babak penting dalam perjalanan 35 tahunnya sebagai hab perkhidmatan kewangan yang kukuh, inovatif dan diiktiraf di peringkat dunia.
Pengarah Urusan Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA), Affendi Rashdi berkata pertumbuhan pusat itu sejak penubuhannya pada 1990 mencerminkan keupayaannya dalam menyesuaikan dengan pelbagai perubahan dan cabaran kewangan serantau serta global, sambil mengekalkan kredibiliti dan daya saing.
"Hari ini menandakan satu detik penting dalam sejarah Labuan IBFC. Sejak penubuhannya pada 1990, pusat ini berkembang, berevolusi dan tetap berdiri teguh meskipun menghadapi pelbagai perubahan selama 35 tahun.
“Perjalanan ini tidak selalu mudah, namun, Labuan IBFC tetap bertahan, menyesuaikan diri dan muncul lebih kuat daripada sebelum ini,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-35 Labuan IBFC hari ini.
Affendi turut merakamkan penghargaan kepada kementerian, agensi kerajaan, rakan pengawal selia, pemain industri serta rakan kongsi pasaran, baik dari dalam mahupun luar negara yang telah menyumbang kepada kejayaan pusat tersebut.
Sambutan ulang tahun ini juga, kata Affendi, bertepatan dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, suatu detik yang bukan sekadar simbolik, tetapi mengukuhkan peranan strategik Labuan IBFC dalam menghubungkan ekonomi Malaysia dengan rantau ini.
Beliau turut menekankan peranan penting Labuan IBFC dalam integrasi ASEAN sejak menjadi tuan rumah Dana Infrastruktur ASEAN pada 2012 serta peningkatan peranannya dalam Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA).
Sebagai sebahagian daripada pengembangan tersebut, Labuan IBFC baru-baru ini memperkenalkan Inisiatif Dompet Digital BIMP-EAGA yang membolehkan penduduk memegang, melabur dan berurusan menggunakan token digital, sekali gus menggalakkan literasi kewangan, tabungan digital dan keterangkuman dalam komuniti ASEAN.
“Labuan IBFC terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan serantau, inklusi kewangan dan integrasi.
“Inisiatif ini akan memacu visi bersama ASEAN untuk memperteguh hubungan ekonomi dan mencapai kemakmuran serantau,” kata Affendi.
-- BERNAMA