Negara Anggota ASEAN Perlu Pergiat Kolaborasi, Rebut Peluang Sektor Pertanian Dan Perhutanan

02/10/2025 03:51 PM

PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- Negara anggota ASEAN (AMS) disarankan mempergiatkan lagi kolaborasi di bawah platform ASEAN bagi menangani cabaran serta merebut peluang dalam sektor pertanian dan perhutanan, khususnya dalam pembangunan kapasiti demi kemajuan sektor berkenaan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu ditegaskan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) yang berlangsung di Manila, Filipina semalam, dengan delegasi Malaysia diketuai Menteri KPKM Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Mesyuarat AMAF merupakan mesyuarat berjadual yang membincangkan isu-isu berbangkit dalam sektor pertanian dan perhutanan, khususnya dalam memperkukuhkan komitmen negara anggota ASEAN terhadap kerjasama serantau berkaitan agenda sekuriti makanan, pertanian dan perhutanan,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk menerima pakai ASEAN Food, Agriculture and Forestry-Sectoral Plan (FAF-SP 2026-2030) sebagai dokumen rujukan utama bagi sektor FAF untuk tempoh lima tahun akan datang.

Negara anggota ASEAN turut bersetuju dengan dua keutamaan keberhasilan ekonomi (PED) di bawah komitmen Kepengerusian ASEAN-Malaysia Tahun 2025 dalam sektor makanan, pertanian dan perhutanan (FAF), iaitu ASEAN Leaders’ Declaration on the Vision for Food, Agriculture, and Forestry Towards 2045 dan ASEAN Framework for Cooperation in Food, Agriculture, and Forestry Sector Towards 2045.

“Kedua-dua dokumen ini akan dibentangkan untuk perakuan pada Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober 2025,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan Mohamad turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan negara tuan rumah, Filipina, serta Jepun bagi membincangkan kerjasama sektor pertanian yang boleh diperluas untuk manfaat bersama.

-- BERNAMA