Penjawat Awam Di Malaysia Semakin Produktif Dengan Penggunaan AI- Tinjauan

Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia Apurva Sanghi --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
03/10/2025 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Penjawat awam di Malaysia semakin produktif dengan penggunaan teknologi digital, bagaimanapun budaya kerahsiaan masih menjadi halangan utama untuk terus mencapai kemajuan.

Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia Apurva Sanghi berkata tinjauan terbesar di dunia melibatkan penjawat awam, lebih 16,500 pegawai di kesemua 28 kementerian Persekutuan, dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam mendedahkan bahawa kecerdasan buatan (AI) menjimatkan purata 2.5 jam sehari bagi penjawat awam.

"Penjawat awam mengatakan bahawa AI menjimatkan masa mereka, bagaimanapun tahap penjimatan itu berbeza dengan Kementerian Digital (MOD) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mendahului, manakala Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Kewangan (MOF) ketinggalan," katanya dalam hantaran menerusi X hari ini.

Berdasarkan GovTech Skills Survey of Malaysian Public Servants 2025, MOD merekodkan kekerapan penggunaan AI tertinggi, dengan 78 responden menjawab "sekurang-kurangnya sekali seminggu" manakala KPWKM hanya mencatat 42 responden. 

Malaysia juga didapati mengatasi negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan ASEAN dalam beberapa bidang.

Menurut Global GovTech Maturity Index (GTMI) 2022 oleh Bank Dunia, Malaysia mencatat skor 1.0 dalam platform awan, teknologi disruptif dan Government Service Bus (GBS) berbanding OECD dengan purata masing-masing 0.81, 0.86 dan 0.74, manakala purata ASEAN ialah 0.74, 0.61 dan 0.60.

Malaysia turut menunjukkan prestasi kukuh dalam seni bina perusahaan dengan skor 0.80, melepasi OECD (0.63) dan ASEAN (0.65). Bagi perisian sumber terbuka, negara memperoleh skor 0.62, di hadapan ASEAN (0.38), tetapi sedikit ketinggalan di belakang OECD (0.59).

Bagaimanapun, Sanghi berkata budaya secrecy-by-default di negara ini menjadi penghalang utama kepada kemajuan.

"Malaysia berkongsi statistik, tetapi kurang berkongsi data perkhidmatan atau hasil. Kekurangan rangka kerja undang-undang yang sesuai mengukuhkan budaya kerahsiaan ini, manakala perkongsian data antara agensi masih kekal sebagai halangan utama," katanya.

Data itu menunjukkan bahawa Malaysia ketinggalan berbanding negara OECD dalam pendedahan data penyampaian perkhidmatan merentasi 23 indikator, dengan hanya 26.1 peratus data Malaysia diterbitkan secara luaran berbanding 35 peratus bagi anggota OECD, namun Malaysia lebih baik sedikit daripada negara ASEAN yang puratanya 22.3 peratus.

Lebih 54.5 peratus data perkhidmatan Malaysia tidak diterbitkan langsung, lebih tinggi daripada purata OECD (49 peratus), namun lebih baik berbanding ASEAN dengan 64.7 peratus data tidak diterbitkan.

Sementara itu, Global Data Barometer (GDB) meletakkan Malaysia pada tahap pertengahan antara OECD dengan ASEAN, menunjukkan prestasi yang baik dari segi tadbir urus dan keupayaan, tetapi lemah dalam aspek ketersediaan, penggunaan dan impak data.

Beliau berkata walaupun Malaysia mencatat skor yang baik dalam metrik digital dan penjawat awam berasa lebih produktif, ukuran kejayaan sebenar ialah peningkatan hasil untuk rakyat.

"Hal ini memerlukan peralihan daripada secrecy-by-default kepada openness-by-default. Akta Kebebasan Maklumat (FOI) yang kukuh ialah kuncinya," katanya.

Sanghi berkata walaupun undang-undang FOI penting, pelaksanaannya lemah kerana kerajaan mungkin enggan melayan permintaan, mengenakan bayaran tinggi atau menggunakan alasan keselamatan negara.

Beliau berkata keberkesanan Akta FOI di Malaysia akan bergantung pada sejauh mana undang-undang itu mampu menangani cabaran ini, di samping mengimbangi peruntukan dalam Akta Rahsia Rasmi.

-- BERNAMA