Timor-Leste Sasar Peluang Perdagangan, Pelaburan Dalam ASEAN

Filipus Nino Pereira
03/10/2025 08:50 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Timor-Leste, negara termuda di Asia Tenggara, sedang menyelesaikan persediaan untuk menyertai ASEAN sebagai anggota penuh bulan ini, setelah memenuhi 97 peratus daripada keperluan keanggotaan blok serantau ini.

Menteri Perdagangan dan Industri Timor-Leste, Filipus Nino Pereira berkata negaranya didorong oleh aktiviti ekonomi ASEAN, dan penyertaan ke dalam blok ini akan membawa cabaran serta peluang.

Keutamaan Timor-Leste kini adalah mempersiapkan ekonominya untuk penyepaduan khususnya dalam perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan, katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan baru-baru ini.

Beliau menghadiri mesyuarat itu sebagai pemerhati.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pula berkata Timor-Leste berkemungkinan besar akan diterima sebagai anggota penuh ASEAN pada 26 Oktober, ketika Malaysia menjadi pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Pereira mengesahkan Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão bersama-sama pegawai kanan kerajaan dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober, yang akan memformalkan penyertaan negara itu sebagai anggota penuh.

Permohonan Timor-Leste untuk menjadi anggota ASEAN dikemukakan pada 2011, dan negara itu telah diberikan status pemerhati pada 2022.

Sejak itu, ASEAN telah mengguna pakai pendekatan berperingkat untuk menyokong penyepaduannya termasuk penyertaan rintis dalam mesyuarat peringkat menteri dan inisiatif kerjasama teknikal.

Pereira berkata Timor-Leste sedang mengadakan mesyuarat dua hala dengan negara anggota ASEAN untuk mendapatkan maklum balas mengenai akses pasaran, potensi pelaburan dan liberalisasi sektor perkhidmatan.

“Proses perundangan berkaitan juga sedang dijalankan di Parlimen dan dijangka selesai menjelang awal Oktober.

“Negara ini juga menggalakkan sektor swasta untuk meneroka majlis perniagaan ASEAN dan inisiatif serantau, yang akan membuka lebih banyak peluang kepada industri kami dalam pelbagai sektor seperti pertanian, pelancongan, serta penyertaan dalam ekonomi serantau,” katanya.

Kalangan pemimpin Asia Tenggara telah bersetuju untuk menerima negara itu sebagai anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan diadakan di Kuala Lumpur, hujung bulan ini.

Selepas mencapai kemerdekaan pada 20 Mei, 2002 dari Indonesia, Timor-Leste telah memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti, pembangunan ekonomi dan diplomasi serantau sebagai sebahagian persediaan untuk penyertaan penuh dalam ASEAN.

Berasaskan jumlah penduduk hampir 1.4 juta, negara itu berusaha memanfaatkan sumber asli serta sektor pelancongan, kopi dan perikanan, untuk mengukuhkan daya tahan ekonominya.

-- BERNAMA