Malaysia Tuan Rumah Mesyuarat SOCA Ke-39, ASCC Ke-34 Minggu Depan

fb Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
03/10/2025 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Pegawai Kanan bagi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (SOCA) ke-39 dan Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-34 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, minggu depan.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan mesyuarat yang berlangsung tiga hari bermula Isnin depan itu, merupakan platform bagi negara anggota ASEAN membincangkan isu utama sosiobudaya yang membentuk rantau ini.

Menurut MOTAC, Mesyuarat Majlis ASCC yang diadakan dua kali setahun di peringkat menteri dan disokong oleh SOCA, menggerakkan agenda ASEAN berteraskan rakyat melalui inisiatif serantau, pertukaran budaya serta kerjasama dengan pertubuhan antarabangsa.

“Berteraskan nilai Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, keterangkuman dan kesejahteraan bersama, mesyuarat ini menegaskan komitmen ASEAN untuk membina komuniti sosiobudaya yang lebih kukuh,” menurut kenyataan itu.

MOTAC juga buat julung kalinya akan menganjurkan Forum Peringkat Tinggi ASCC 2025 sebagai platform penting untuk menilai pengajaran daripada Pelan Induk ASCC 2025 serta merangka hala tuju masa depan kerjasama sosiobudaya ASEAN selaras dengan Visi ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama.

Menurut kenyataan itu, forum berkenaan akan menghimpunkan menteri, rakan dialog, tokoh korporat, ahli akademik, pemikir, wakil belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengadakan dua dialog peringkat tinggi mengikut tema khusus.

“Sesi berkenaan akan membincangkan pandangan strategik mengenai cabaran baharu, inovasi serta peluang dalam membentuk landskap sosiobudaya ASEAN,” menurut kenyataan itu.

MOTAC turut menjemput orang ramai berkunjung ke Pameran Seni dan Kraf ASEAN, yang menampilkan seni kraf tradisional dan kontemporari, demonstrasi oleh tokoh kraf, sesi padanan perniagaan untuk usahawan serta perbincangan berskala kecil mengenai warisan budaya dan industri kreatif.

Bazar berkenaan akan berlangsung pada tarikh dan venue sama, bermula 10 pagi hingga 5 petang.

Penganjuran acara penting ASEAN oleh Malaysia, menyerlahkan kepimpinannya dalam menggalakkan kerjasama serantau, pertukaran budaya dan keterhubungan rakyat-ke-rakyat, di samping menekankan keterangkuman, kemampanan serta kesejahteraan bersama ketika ASEAN merangka hala tuju 2045.

-- BERNAMA