ASEAN Pergiat Usaha Satukan Budaya Dan Kelestarian Ekologi - Tiong

08/10/2025 01:36 AM

PETALING JAYA, 7 Okt (Bernama) -- Negara anggota ASEAN mempergiat usaha untuk menyelaraskan pemuliharaan budaya dengan kelestarian ekologi bagi membina sebuah komuniti serantau yang lebih inklusif dan berpusatkan rakyat, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Berucap pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-34 di sini malam ini, beliau berkata pengiktirafan terkini terhadap Sistem Taman Hutan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengharmonikan budaya, sains dan pemuliharaan alam sekitar.

“Pengiktirafan ini bukan hanya mengenai biodiversiti, ia merupakan simbol bagaimana alam semula jadi, sains dan penjagaan budaya dapat bergabung, satu falsafah yang menjadi teras visi ASCC bagi pembangunan lestari dan inklusif,” katanya.

Majlis makan malam itu turut dihadiri Menteri-Menteri Majlis ASCC, wakil dari Timor-Leste, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, serta pemimpin dan delegasi Jawatankuasa Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN bagi ASCC (SOCA). 

Tiong berkata Malaysia amat berbesar hati menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis ASCC ke-34, khususnya di Selangor yang beliau sifatkan sebagai negeri menggambarkan semangat dinamik sosial dan budaya ASEAN.

“Selangor bukan setakat sebuah kuasa ekonomi di Malaysia, ia adalah gambaran sebenar kepada identiti kepelbagaian budaya, memiliki kampung Melayu tradisional, Kampung Baru Cina, penempatan India dan 74 komuniti Orang Asli,” katanya sambil menekankan bahawa negeri itu mencerminkan visi ASCC dalam meraikan perbezaan, memupuk keharmonian dan membina masa depan yang inklusif.

Tiong menambah mesyuarat itu bukan sahaja menjadi platform untuk memudahkan dialog malah turut berperanan dalam memberi inspirasi kepada transformasi serantau, terutamanya dalam merangka dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Ketika kita berbincang mengenai hala tuju strategik ASCC, kita perlu ingat bahawa keputusan yang kita buat di sini membawa makna yang besar kepada kehidupan sebenar rakyat. Sama ada melibatkan masa depan pekerjaan hijau, inisiatif One Health, warisan digital atau tindakan terhadap perubahan iklim

“Perbincangan kita perlu sentiasa kembali kepada rakyat tentang kanak-kanak di bilik darjah luar bandar, seniman yang terus menghidupkan tradisi lisan, dan belia yang sedang membayangkan ASEAN menjelang 2045,” katanya.

Tiong turut menegaskan bahawa ASEAN bukan sahaja disatukan melalui dasar tetapi juga terikat  dengan empati, bukan hanya dihubungkan melalui infrastruktur tetapi juga berkongsi akar umbi yang sama dan bukan sahaja berkembang dari segi ekonomi tetapi turut subur dengan semangat kebersamaan.

Mesyuarat dua hari bermula 7 Okt di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid itu menjadi platform kepada negara anggota ASEAN membincangkan isu sosiobudaya utama yang membentuk rantau ini.

Berpandukan nilai Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, keterangkuman dan kemakmuran bersama, ASCC menerajui agenda ASEAN yang berpusatkan rakyat melalui projek serantau, pertukaran budaya, dan kerjasama antarabangsa dalam usaha membina komuniti sosiobudaya yang lebih kukuh.

-- BERNAMA