EU CERC Teroka Kerjasama Dengan Malaysia Percepat Peralihan Ekonomi Kitaran

Pengarah Program Antarabangsa Sitra, Kari Herlevi
08/10/2025 12:04 PM

Daripada Zufazlin Baharuddin

HELSINKI, 8 Okt (Bernama) -- Pusat Sumber Ekonomi Kitaran Kesatuan Eropah (EU CERC) sedang meneroka potensi Malaysia sebagai rakan kongsi strategik dalam menggalakkan usaha peralihan kepada ekonomi kitaran di Asia Tenggara.

Langkah itu selaras dengan kerangka dasar kukuh negara dan kesediaan untuk beralih daripada perancangan kepada pelaksanaan.

Pengarah Program Antarabangsa Sitra Kari Herlevi berkata Malaysia disifatkan menyerlah dalam kalangan negara rantau ini kerana pendekatannya yang tersusun terhadap pertumbuhan industri mampan, disokong dasar dan kerangka nasional yang selari dengan prinsip ekonomi kitaran EU.

“Malaysia mempunyai peranan dan potensi unik untuk menjadi antara peneraju awal dalam mempercepatkan peralihan kepada ekonomi kitaran di Asia Tenggara. Negara ini telah membangunkan kerangka dasar ekonomi kitaran, namun dasar sahaja tidak memadai sekiranya industri tidak terlibat secara aktif dalam pelaksanaannya.

“Justeru, EU CERC memainkan peranan penting dalam membantu organisasi yang menyokong perniagaan, termasuk persatuan industri, yang menjadi penghubung antara dasar dan pelaksanaan prinsip ekonomi kitaran di lapangan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di luar program media “Climate Solutions from Finland”.

EU CERC diuruskan bersama oleh Dana Inovasi Finland, Sitra, dan agensi kerjasama antarabangsa Belgium, Enabel, yang mula beroperasi pada awal tahun 2025.

Projek lima tahun itu dibiayai oleh Suruhanjaya Eropah sebanyak 15 juta euro (1 Euro = RM4.90) menerusi strategi Global Gateway, iaitu rancangan pelaburan EU bagi menyokong pertumbuhan hijau dan mampan, dengan tambahan pembiayaan bersama sebanyak dua juta euro daripada Kementerian Luar Negeri Finland.

Mengulas lanjut, Herlevi berkata Malaysia telah pun mempunyai Kerangka Dasar Ekonomi Kitaran untuk Sektor Pembuatan serta asas industri pembuatan yang kukuh, selain beberapa taman perindustrian mesra alam sekitar yang menyokong pengeluaran mampan.

Beliau turut menarik perhatian terhadap usaha kerajaan Malaysia di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Bagi Sisa Pepejal, dengan pengenalan instrumen ekonomi bagi mengenakan kos ke atas penjanaan sisa dan pelupusan ke tapak pelupusan, bagi menggalakkan amalan pengurusan sisa yang lebih baik.

“Langkah ini amat penting memandangkan harga dan kos lazimnya menjadi insentif paling berkesan dalam mendorong perubahan,” katanya sambil menambah bahawa pengalaman Finland boleh dijadikan rujukan berguna oleh Malaysia dalam mengaplikasikan prinsip ekonomi kitaran.

Mengulas mengenai Forum Ekonomi Kitaran ASEAN (ACEF) 2025 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur minggu hadapan, beliau menjangkakan Malaysia akan menjadi rakan kerjasama yang menarik berdasarkan komitmen tinggi negara dalam mempromosi prinsip ekonomi kitaran dalam kalangan penggubal dasar dan pemimpin industri.

ACEF 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 17 Okt akan dianjurkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Forum berkenaan akan memberi tumpuan kepada bagaimana penyelesaian ekonomi kitaran mampu mendorong pembangunan inklusif, mengurangkan ketidaksamaan dan merangsang inovasi di seluruh rantau ini.

Selaras dengan penganjuran forum itu, Kedutaan Finland di Malaysia bersama Sitra akan menganjurkan acara sampingan bertajuk “Unlocking New Value in Southeast Asia Through Circular Business Models” pada 15 Oktober, yang akan mengetengahkan peranan EU CERC dalam mempromosi dasar dan model perniagaan ekonomi kitaran yang inklusif dan berkesan antara EU dan negara rakan kerjasama.

Dalam perkembangan berkaitan, Herlevi memaklumkan potensi ekonomi kitaran di Asia bakal menjadi tumpuan dunia pada tahun hadapan apabila Forum Ekonomi Kitaran Dunia 2026 (WCEF 2026) dijadualkan berlangsung di India.

Forum itu akan dianjurkan bersama oleh Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat India di bawah Kementerian Alam Sekitar, Hutan dan Perubahan Iklim India, serta Sitra.

-- BERNAMA