Malaysia Gesa Kerjasama Serantau Lebih Kukuh Perkasa Tenaga Kerja ASEAN
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Malaysia menggesa kerjasama serantau yang lebih kukuh untuk melabur dalam modal insan dan memperkasakan tenaga kerja ASEAN untuk masa depan, seiring dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bercakap pada perasmian Forum Kemahiran Global, Tahun Kemahiran ASEAN 2025 hari ini, Ahmad Zahid berkata inisiatif itu mencerminkan keyakinan teguh Malaysia bahawa masa depan rantau ini tidak boleh dibentuk secara bersendirian.
“Ketika kita mengharungi era baharu ini, pendirian Malaysia jelas – kita tidak dapat membentuk masa depan secara sendirian. Kemahiran melangkaui sempadan, ilmu tidak mengenali kewarganegaraan dan bakat, apabila dipupuk bersama, mampu mengangkat seluruh rantau.
“Dengan hampir 700 juta penduduk, kebanyakan berusia di bawah 35 tahun, ASEAN ialah satu daripada rantau yang paling muda dan dinamik di dunia, dan sekiranya kita melabur dengan bijak, dividen belia ini dapat memacu inovasi dan kemakmuran selama berdekad-dekad. Namun, jika kita mengabaikannya, kita berisiko kehilangan generasi akibat ketidaksamaan dan ketiadaan kaitan,” katanya.
Turut hadir Menteri Sumber Manysia Steven Sim, Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Gilbert F. Houngbo dan Naib Presiden Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE) Matthias Thorns.
Ahmad Zahid berkata di bawah Kepengerusian ASEAN, negara turut menerajui usaha bagi membangunkan rangka kerja baharu untuk pengiktirafan kemahiran rentas sempadan dan pelaburan bersama dalam modal insan melalui Kementerian Sumber Manusia dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
Beliau berkata kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia dengan HRD Corp turut melibatkan Sekretariat ASEAN, ILO dan IOE.
Timbalan Perdana Menteri juga menggariskan tiga keutamaan untuk Tahun Kemahiran ASEAN 2025, bermula dengan usaha memperkukuh sistem kemahiran negara supaya sejajar dengan keperluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam menghadapi tuntutan Revolusi Perindustrian 4.0 serta ekonomi hijau.
“Kedua, memperluas peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran untuk wanita, belia, Orang Kurang Upaya dan pekerja dalam sektor tidak formal.
“Ketiga, menggalakkan pengiktirafan bersama dalam kemahiran rentas sempadan supaya ASEAN dapat bergerak seiring dengan tenaga kerja yang mudah alih, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.
Ketika dunia menghadapi kemajuan teknologi yang pesat, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Ahmad Zahid berkata Malaysia mengambil langkah proaktif untuk memastikan tiada pihak yang tertinggal dalam proses peralihan ini.
Beliau berkata di bawah kerangka Malaysia MADANI, kerajaan sedang melaksanakan transformasi terhadap ekosistem kemahiran negara agar lebih inklusif, tangkas dan berpandangan jauh termasuk menyelaraskan pendidikan dengan keperluan industri, mengintegrasikan TVET dengan teknologi baharu dan menerapkan pembelajaran berasaskan nilai pada setiap peringkat.
“Sebagaimana AI membuka peluang baharu, teknologi itu juga membawa risiko baharu – daripada melebarkan jurang ketidaksamaan kepada penggantian pekerjaan. Jika dibiarkan, perkara ini dapat meluaskan jurang antara mereka yang mempunyai akses terhadap kemahiran dan mereka yang tidak mempunyai akses itu.
“Sebab itulah pembangunan kemahiran tidak boleh dianggap sebagai perkara sampingan, sebaliknya sebagai asas kepada daya tahan negara.
“Kita perlu menyedari bahawa jurang besar seterusnya bukan antara negara kaya dengan yang miskin, tetapi antara masyarakat berkemahiran dengan yang tidak berkemahiran. Keupayaan untuk belajar, melupakan dan belajar semula akan menentukan sama ada sesebuah negara itu bangkit atau jatuh dalam ekonomi global baharu,” katanya.
-- BERNAMA