Putin Tidak Hadir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, Diwakili Timbalan PM Rusia - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan pada Majlis Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kementerian Kewangan hari ini. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
23/10/2025 01:37 AM

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Presiden Rusia Vladimir Putin tidak akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Putin akan diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexander Novak.

“Presiden Putin mengesahkan bahawa beliau tidak akan hadir. Beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk datang pada tahun berikutnya. Beliau akan diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri Rusia,” kata Anwar pada sesi taklimat khas media dengan wartawan tempatan dan antarabangsa di sini malam ini, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Pengesahan itu menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan kehadiran Putin selepas Presiden Rusia itu memaklumkan kepada Anwar bahawa beliau “mempertimbangkan dengan serius” kehadiran ke perhimpunan serantau berkenaan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka menghimpunkan beberapa pemimpin utama dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dan juga pemimpin dari China, Jepun serta negara anggota ASEAN.

Anwar turut mengesahkan Pemangku Presiden Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing tidak akan menghadiri sidang kemuncak berkenaan dan beliau turut menegaskan pendirian badan serantau itu terhadap Konsensus Lima Perkara mengenai krisis politik di negara terbabit.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan terhadap sokongan proaktif Jepun dalam usaha pembinaan semula Gaza selepas gencatan senjata yang dicapai baru-baru ini dan menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa melalui kerangka Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA).

“Saya berharap perkara ini dapat dibincangkan dengan Perdana Menteri Jepun yang baharu Sanae Takaichi, kerana inisiatif ini asalnya dicetuskan oleh Perdana Menteri (Shigeru) Ishiba. Kami telah mencapai kesepakatan dan kini sedang bersama-sama melaksanakannya,” kata beliau.

Anwar berkata kesediaan Jepun untuk terlibat dalam usaha pembinaan semula itu wajar diberi pengiktirafan, khususnya atas sokongan yang berterusan dalam usaha kemanusiaan.

“Perkara ini wajar dihormati dan diberi perhatian bahawa Jepun benar-benar serius dalam usaha membantu pembinaan semula Gaza,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata isu penipuan dalam talian rentas sempadan sekali lagi akan menjadi antara isu dibangkitkan pada sidang kemuncak kali ini apabila pemimpin serantau berusaha memperkukuh tindakan bersama bagi menangani ancaman rentas sempadan yang semakin membimbangkan.

“Isu ini telah dibincangkan dalam mesyuarat dua hala dan serantau dengan beberapa jaminan telah diberikan. Hal ini akan dibangkitkan sekali lagi pada sidang kemuncak kali ini kerana isu berkenaan memberikan kesan langsung terhadap kestabilan, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rantau ini,” kata Anwar.

Perdana Menteri juga dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa pemimpin dunia berkaitan perdagangan, keselamatan serantau serta kerjasama bantuan kemanusiaan pada sidang kemuncak itu.

-- BERNAMA