Perkongsian China-ASEAN Berkembang Kukuh, Kata Jurucakap Kementerian Luar
Oleh Rohani Mohd Ibrahim
BEIJING, 22 Okt (Bernama) -- Perkongsian Strategik Komprehensif China-ASEAN yang semakin mendalam terus menjadi tonggak utama kepada pertumbuhan dan kestabilan serantau, sekali gus menyuntik momentum baharu kepada pembangunan serta integrasi ekonomi Asia, kata jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun.
Dalam sidang media hariannya pada Rabu, beliau berkata China dan negara-negara ASEAN merupakan jiran rapat yang berkongsi visi serta kepentingan yang selaras.
“China amat menitikberatkan hubungannya dengan ASEAN dan kerjasama Asia Timur,” katanya.
Guo turut menzahirkan sokongan terhadap Malaysia selaku pengerusi bergilir ASEAN tahun ini.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dari 26 hingga 28 Okt ini.
Lebih 30 ketua negara dan kerajaan, termasuk pemimpin ASEAN dan rakan dialog utama, akan berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk membincangkan keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif di bawah tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan.”
Sementara itu, Guo berkata China dan ASEAN mengekalkan hubungan erat di peringkat tinggi, memperkukuh kepercayaan politik bersama serta mengukuhkan momentum pembangunan bersepadu.
“Kedua-dua pihak amat menitikberatkan sinergi strategi pembangunan masing-masing dan telah merangka Pelan Tindakan Pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China (2026-2030),” katanya ketika ditanya mengenai pandangan China terhadap kerjasama dan hubungan semasanya dengan ASEAN.
Guo berkata China dan ASEAN komited untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, mempertahankan Pemusatan ASEAN serta memajukan penyelesaian dan kerjasama berasaskan dialog di Laut China Selatan.
“China dengan tegas menyokong peranan utama ASEAN dalam seni bina serantau dan bersedia bekerjasama dengan semua pihak untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai lautan keamanan, persahabatan dan kerjasama.
“Kami komited untuk menangani perbezaan di Laut China Selatan secara wajar melalui dialog dan rundingan dengan negara yang terlibat secara langsung, serta bekerjasama dengan negara-negara ASEAN untuk melaksanakan sepenuhnya dan berkesan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC), mempercepat rundingan mengenai kod tatalaku (COC) di Laut China Selatan dan memperkukuh kerjasama maritim praktikal bagi membina Laut China Selatan sebagai lautan keamanan, persahabatan dan kerjasama,” katanya.
Dalam dunia yang pantas berubah, beliau menambah bahawa China akan terus mempromosikan kerjasama dan mencapai hasil menang-menang dengan mendukung prinsip persahabatan, keikhlasan, manfaat bersama dan keterangkuman untuk membina komuniti China-ASEAN dengan masa depan bersama yang lebih erat.
-- BERNAMA