Prabowo Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN Dan APEC Berturut-turut
JAKARTA, 22 Okt (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur serta Sidang Kemuncak APEC 2025 di Gyeongju, Korea Selatan pada akhir Oktober dan awal November ini, kata Menteri Luar, Sugiono.
Diadakan di bawah tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, "Keterangkuman dan Kemampanan", Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini manakala sesi utama APEC dijadual diadakan dari 31 Okt hingga 2 Nov.
“Kami sedang membuat persiapan bagi kedua-dua acara ini,” kata Sugiono seperti dipetik Metro TV News pada Rabu, sambil menyatakan bahawa sidang kemuncak itu akan menekankan komitmen Indonesia terhadap kestabilan, keamanan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.
Sidang Kemuncak ASEAN akan merangkumi 25 mesyuarat peringkat tinggi meliputi kerjasama ekonomi, peralihan tenaga bersih dan pembangunan ekonomi digital, dengan para pemimpin turut dijangka meneroka penggunaan tenaga nuklear secara aman dalam grid kuasa ASEAN yang bersepadu.
Antara agenda lain termasuk krisis kemanusiaan di Gaza dan peranan ASEAN dalam usaha damai di Timur Tengah, selain mesyuarat itu juga akan menandakan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok serantau berkenaan.
Selepas sesi ASEAN, Prabowo akan berlepas ke Korea Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak APEC bertemakan “Building a Sustainable Tomorrow”, sejajar dengan Visi Putrajaya APEC 2040 ke arah mewujudkan Asia Pasifik yang terbuka, berdaya tahan dan aman.
Acara-acara APEC yang akan diadakan di Gyeongju, Jeju, Incheon dan Busan itu turut merangkumi Minggu Pemimpin Ekonomi APEC dari 27 Okt hingga 1 Nov, meliputi Mesyuarat Akhir Pegawai Kanan, Mesyuarat Peringkat Menteri dan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi.
-- BERNAMA