ASEAN Perlu Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bagi Cerminkan Realiti Baharu - Rebecca Sta Maria
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- ASEAN perlu terus menaik taraf perjanjian perdagangannya dengan memasukkan sektor baharu seperti perdagangan digital dan ekonomi hijau bagi mencerminkan perkembangan pesat ekonomi global, kata bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tan Sri Rebecca Sta Maria.
Beliau berkata walaupun rangka kerja sebelum ini seperti Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN telah dirangka untuk memberikan tumpuan kepada akses pasaran, barangan, perkhidmatan dan pelaburan, realiti ekonomi hari ini melangkaui perdagangan tradisional.
“Perdagangan digital, ekonomi hijau dan keterangkuman tidak dimasukkan dalam perjanjian kita sebelum ini. Oleh itu, penambahbaikan adalah perlu untuk menggabungkan bidang ini dalam struktur perdagangan ASEAN,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Antara Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) dalam Tonggak Ekonomi ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia pada tahun ini ialah pemeteraian Protokol Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 (ACFTA 3.0) pada Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober 2025.
ACFTA 3.0 melambangkan komitmen kedua-dua pihak terhadap rangka kerja perdagangan yang dipertingkatkan, berasaskan peraturan dan bersedia untuk masa depan. Ciri-ciri utama FTA yang dinaik taraf termasuklah peluasan kepada sektor baharu seperti ekonomi digital, ekonomi hijau dan kesalinghubungan rantaian bekalan.
Sementara itu, perbincangan antara ASEAN dan Korea Selatan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN bertumpu kepada langkah menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea (AKFTA) yang dirancang, penekanan kepada bidang kritikal untuk membentuk masa depan kerjasama ekonomi ASEAN-Korea Selatan termasuk ekonomi digital, mineral penting, daya tahan rantaian bekalan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kemampanan dan ekonomi hijau.
Rebecca merujuk kepada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebagai platform utama untuk ASEAN memperkukuh kepusatannya dalam sistem perdagangan.
Beliau menegaskan bahawa RCEP telah dirangka oleh ASEAN, bukan oleh rakan luar dan kini perlu diperkukuhkan melalui penyelarasan dengan perjanjian perdagangan bebas 'plus one' ASEAN dengan China, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand yang ditambah baik.
“RCEP memberi kita peluang untuk mempelbagaikan lagi pasaran berikutan kita telah mempunyai platform tersebut. Ia adalah inisiatif yang dirangka oleh ASEAN dan ia perlu diperkukuhkan lagi,” katanya.
Beliau berkata pendekatan ASEAN yang terbuka dan inklusif terhadap kerjasama serantau membolehkan peluasan keanggotaan kepada negara baharu seperti Sri Lanka dan Bangladesh walaupun pertimbangan teknikal perlu diselesaikan berikutan negara-negara tersebut masih belum mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan ASEAN.
“Regionalisme terbuka sentiasa menjadi antara prinsip ASEAN. Apa yang penting sekarang ialah berfikir secara berbeza, ini bukan lagi urusan seperti biasa,” katanya.
Rebecca turut menekankan keperluan untuk ASEAN bekerjasama secara kreatif dengan rakan seperti China, bukan sahaja pada peringkat kerajaan malah dengan perniagaan untuk mencari kaedah kerjasama dalam menangani tekanan pasaran.
“Dalam semua cabaran ini, kita boleh melihatnya sebagai gangguan atau peluang. Dari perspektif Malaysia, ini adalah peluang untuk melihat semula sistem kita sendiri (seperti) halangan bukan tarif kita, proses kita, birokrasi kita. Kemudahan menjalankan perniagaan perlu terus menjadi tumpuan,” katanya.
Rebecca turut menekankan Inisiatif Integrasi ASEAN (IAI) sebagai mekanisme penting untuk menyokong keterangkuman terutamanya dengan penyertaan Timor-Leste.
Beliau berkata ASEAN telah lama memberikan layanan istimewa dan berbeza kepada negara anggota kurang maju seperti Kemboja, Laos dan Myanmar dan pendekatan ini boleh diperluaskan dengan mudah kepada Timor-Leste.
“ASEAN telah pun mempunyai mekanisme. Ia bukanlah sesuatu yang baharu dan kita telah melaksanakannya sebelum ini. Matlamatnya ialah membantu anggota baharu menyertai perjanjian kita tanpa menjadikannya terlalu sukar,” katanya.
Beliau berkata kekuatan ASEAN terletak pada keupayaannya untuk menyesuaikan dan bersatu padu, mengambil contoh kejayaan transformasi Perkongsian Trans-Pasifik kepada Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) selepas Amerika Syarikat menarik diri.
Jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN adalah kira-kira US$4.13 trilion pada 2024, menjadikannya blok ekonomi keempat terbesar di dunia.
Filipina akan menjadi pengerusi ASEAN pada 2026, mengambil alih daripada Malaysia.
-- BERNAMA