"Sesuatu Yang Besar" Dijangka Diumum Daripada Lawatan Trump Ke Sidang Kemuncak ASEAN
Oleh Niam Seet Wei
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pengesahan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini, yang dijadual tiba beberapa hari lagi, dijangka membawa pengumuman besar, kata ahli ekonomi.
“Pengumuman itu kemungkinan berkaitan dengan perjanjian perdagangan bebas (FTA) penuh dengan AS, yang sekali gus dijangka memansuhkan tarif timbal balas,” kata Pengasas dan Pengarah Williams Business Consultancy Sdn Bhd Geoffrey Williams kepada Bernama.
Selain daripada itu, beliau turut menjangkakan beberapa pengumuman pelaburan baharu oleh syarikat-syarikat AS sempena lawatan Presiden itu.
Menyentuh mengenai tarif, William berharap akan ada berita baik berkaitan duti sifar bagi produk semikonduktor memandangkan syarikat semikonduktor terkemuka Micron Technology Inc yang berpangkalan di Pulau Pinang adalah firma milik AS.
Pada masa ini, AS mengenakan tarif sebanyak 19 peratus ke atas eksport dari Malaysia, namun produk seperti semikonduktor masih dikecualikan daripada tarif tersebut.
“Nadir bumi juga merupakan bidang penting, dan berkemungkinan wujud peluang usaha sama baharu dengan syarikat AS dalam sektor itu,” kata beliau.
Mengulas mengenai lawatan Trump ke Malaysia -- yang merupakan kunjungan pertamanya ke Asia selepas menjadi Presiden AS buat kali kedua pada Januari 2025, serta lawatan pertama oleh Presiden AS ke negara ini sejak Barack Obama pada 2015 — Williams berkata beliau mengambil pendekatan untuk menunggu perkembangan lanjut sebelum membuat sebarang penilaian.
“Antara hasil positif yang diharapkan ialah lebih banyak perjanjian perdagangan dan pelaburan dengan AS, selain pengurangan tarif timbal balik serta peraturan bukan tarif.
“Sebaliknya, jika tiada perkembangan baharu atau AS mengambil pendirian lebih tegas — khususnya terhadap penghantaran semula barangan dari China melalui negara ASEAN — ia dianggap satu kerugian,” katanya.
Secara keseluruhannya, menurut William, lawatan Trump dijangka mengukuhkan keyakinan terhadap hubungan baik antara Malaysia dan AS, serta ASEAN dan AS, selain memberi ruang untuk memperkukuh kerjasama perdagangan serta pelaburan antara kedua-dua pihak.
“AS, sedang berusaha mendapatkan kelonggaran terhadap sekatan bukan tarif, dan sekiranya perkara itu dapat dicapai, lawatan ini merupakan masa yang sesuai untuk mengumumkannya serta membincangkan semula pengurangan tarif timbal balik,” kata beliau.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Acara itu bakal menghimpunkan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN bersama rakan dialog utama termasuk AS, China, Korea Selatan, Jepun dan India.
AS kekal sebagai antara rakan dagang utama Malaysia sejak beberapa dekad lalu. Bagi tempoh Januari hingga September 2025, eksport Malaysia ke AS meningkat 18.2 peratus tahun ke tahun kepada RM166.38 bilion, dipacu oleh penghantaran lebih tinggi bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), jentera, kelengkapan dan alat ganti, serta makanan diproses.
Sementara itu, import dari AS pula meningkat 11.2 peratus tahun ke tahun kepada RM104.50 bilion, manakala jumlah dagangan Malaysia-AS berkembang 15.4 peratus tahun ke tahun kepada RM270.88 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
-- BERNAMA