Lencongan, Penyuraian Trafik Bagi Raptai Sidang Kemuncak ASEAN Bermula 8 Pagi Esok - PDRM

Anggota Polis Trafik mula mengawal lalu lintas dia Jalan Pinang dan di perkarangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Mei ini. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
22/10/2025 09:58 PM

Oleh Nur Syahidayah Mahasan & Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan lencongan dan penyuraian trafik secara berperingkat bermula 8 pagi sehingga 7.45 malam esok sempena raptai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata raptai yang akan diteruskan sehingga Jumaat ini adalah langkah penting bagi memastikan pergerakan delegasi sebenar kelak berjalan lancar dan tersusun. 

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada menggunakan laluan terlibat semasa raptai, mengikut panduan petugas trafik dan papan tanda sementara serta menggunakan pengangkutan awam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

“Penutupan jalan hanya akan dilakukan selama dua kali iaitu selama 45 minit pada 8 hingga 8.45 pagi dan 7 hingga 7.45 malam, bagi memastikan semua laluan, penugasan serta pengiringan delegasi antarabangsa dapat dilakukan dengan sempurna,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah 1,111 pegawai dan anggota trafik yang ditugaskan untuk kawalan lalu lintas, pengiringan delegasi kenamaan serta penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan kelancaran  lalu lintas semasa sidang kemuncak adalah mencukupi.

-- BERNAMA