Sidang Kemuncak ASEAN: Orang Ramai Dinasihat Patuhi Undang-undang, Rancang Perjalanan
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata PDRM akan mengambil langkah sewajarnya mengikut lunas undang-undang bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara dan rakyat Malaysia perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab selain mengekalkan keharmonian, ketertiban serta rasa hormat sesama masyarakat agar menjadi contoh kepada delegasi asing yang hadir.
“PDRM ingin menasihatkan agar setiap pihak sentiasa mematuhi undang-undang serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk provokasi, penyebaran maklumat tidak sahih atau perbuatan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegentaran awam,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata PDRM telah mengambil langkah proaktif termasuk risikan awal, pemantauan berterusan dan penempatan pasukan khas di lokasi strategik bagi memastikan keselamatan optimum sepanjang tempoh sidang kemuncak itu berlangsung.
Mohd Khalid berkata persidangan itu merupakan acara berprestij yang menghimpunkan ketua-ketua negara di peringkat antarabangsa bagi memperkukuh kerjasama serantau dan memupuk persefahaman demi keamanan serta kemakmuran bersama.
"Sebagai tuan rumah, Malaysia amat berbangga serta bertanggungjawab memastikan kelancaran dan keselamatan persidangan ini,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk merancang perjalanan terutama di lokasi sekitar pusat persidangan, pusat bandar raya, Putrajaya dan laluan utama yang terlibat dengan kawalan trafik serta penutupan sementara.
"Gunakan aplikasi navigasi, rancang masa perjalanan lebih awal, dan berikan kerjasama penuh kepada anggota polis yang bertugas," katanya.
Mohd Khalid juga berkata masyarakat perlu sentiasa peka terhadap keselamatan diri serta persekitaran, dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa kerana keprihatinan dan kepekaan rakyat merupakan tunjang penting kepada keselamatan negara.
"Marilah kita bersama-sama menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini dengan semangat perpaduan, patriotisme dan kepatuhan kepada undang-undang.
“Tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman, berdaulat dan matang dalam menguruskan acara besar di peringkat antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA