ASEAN Perlu Perkukuh Seni Bina Keselamatan Siber Serantau – Setiausaha Agung
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 22 Okt (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menggesa penyelarasan serantau yang lebih kukuh bagi memperkukuh seni bina keselamatan siber ASEAN melalui tindakan kolektif dalam penyelarasan dasar, pembangunan keupayaan dan kesiapsiagaan tindak balas insiden.
Beliau berkata walaupun Indeks Keselamatan Siber Global 2024 menunjukkan kemajuan ketara dalam kalangan negara anggota ASEAN dalam membangunkan rangka kerja kawal selia bagi perlindungan data peribadi, privasi dan pemberitahuan pelanggaran data, laporan itu turut menonjolkan ketiadaan strategi serantau yang menyeluruh.
“Memandangkan tahap kesiapsiagaan negara yang berbeza, ASEAN boleh menyokong satu sama lain melalui penyelarasan dasar dan pembangunan keupayaan bersama.
“Pengoperasian penuh Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Rantau ASEAN (CERT) akan membolehkan tindak balas pantas dan terkoordinasi terhadap insiden rentas sempadan serta memperkukuh kepercayaan dalam kalangan negara anggota,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Peringkat Menteri ASEAN Mengenai Keselamatan Siber ke-10 di sini.
Teks ucapan beliau disiarkan di laman sesawang rasmi ASEAN.
Kao menambah bahawa ASEAN mesti menangani kekurangan bakat keselamatan siber - dianggarkan berjumlah 3.4 juta di seluruh Asia Pasifik pada 2024 - dengan meningkatkan usaha menarik serta melatih bakat digital.
Beliau berkata ASEAN perlu memperhebat kerjasama rentas tonggak bagi menangani risiko keselamatan siber yang berpunca daripada kemunculan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, automasi dan pengkomputeran kuantum yang sedang membentuk semula landskap digital dengan membawa peluang dan kerentanan baharu.
“Sebagai contoh, penipuan menggunakan teknologi AI seperti "deepfake" dan model bahasa besar kini digunakan dalam kegiatan penipuan kewangan, mengakibatkan mangsa di seluruh ASEAN kerugian dianggarkan sebanyak US$23.6 bilion pada 2024 sahaja,” katanya, memetik data kajian Global Anti-Scam Alliance.
Sebagai respons, ASEAN telah memperkukuh kerjasama melalui Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Antipenipuan Dalam Talian dan Kumpulan Kerja Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) mengenai Jenayah Siber bagi meningkatkan kesedaran awam, penyelarasan dasar, perkongsian maklumat serta kerjasama penguatkuasaan undang-undang.
Beliau berkata di bawah kepimpinan Malaysia, ASEAN kini sedang berusaha menubuhkan Rangkaian Keselamatan AI (AI Safe) untuk menginstitusikan prinsip keselamatan, etika dan tadbir urus AI di seluruh rantau ini.
“Saya menggalakkan Jawatankuasa Penyelaras Keselamatan Siber ASEAN supaya memperkukuh mekanisme penyelarasan bagi memastikan ASEAN dapat menangani dancaman keselamatan siber yang semakin kompleks dalam era digital dengan berkesan,” tambahnya.
Sementara itu, Kao berkata ASEAN perlu mengekalkan dan memperluas kerjasama dengan rakan kongsi luar, berpandukan "Norma Tingkah Laku Negara Bertanggungjawab di Ruang Siber" yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata Dialog Dasar Siber ASEAN dengan rakan kongsi perlu bergerak melangkaui perbincangan dasar semata-mata kepada bentuk kerjasama konkrit yang dapat memupuk kepercayaan, meningkatkan kapasiti teknikal serta memperkukuh kestabilan dalam ruang siber.
“Ketika kita memajukan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), ASEAN berada pada kedudukan terbaik untuk memainkan peranan kepimpinan dalam membentuk usaha global ke arah ekosistem digital yang terbuka, selamat dan berdaya tahan,” katanya.
Mengenai DEFA, Kao berkata ASEAN kekal di landasan yang betul untuk mencapai kesimpulan substantif rundingan yang akan diumumkan oleh Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada 24 Okt.
Beliau menambah bahawa pemuktamadan DEFA dijangka membuka potensi lebih besar, dengan anggaran nilai ekonomi digital ASEAN boleh meningkat dua kali ganda kepada US$2 trilion menjelang 2030.
-- BERNAMA