ASEAN Dilihat Sebagai Kawasan Berpotensi Besar Untuk Usahawan - AYEC

23/10/2025 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Dunia kini melihat ASEAN sebagai kawasan dengan potensi terbesar terutama dalam bidang keusahawanan, yang semakin mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan dan sektor swasta.

Pengerusi ASEAN Young Entrepreneurs Council (AYEC) Deborah Melissa Bottreau berkata kewujudan ekosistem sokongan yang baik, menjadikan ASEAN pilihan utama kepada usahawan muda untuk mengembangkan perniagaan, berbanding di Eropah yang menyaksikan golongan itu berdepan dengan kekangan dalam mencari peluang.

“Di Eropah, banyak negara memberi tekanan kepada generasi muda untuk bekerja dalam sektor tradisional dan memerlukan kelulusan akademik yang tinggi.

Pengerusi ASEAN Young Entrepreneurs Council (AYEC) Deborah Melissa Bottreau

“Sebaliknya, di ASEAN, terdapat banyak sokongan dan peluang bagi usahawan muda untuk berkembang, tanpa dibebani dengan birokrasi yang berat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara: “Usahawan Muda Aset Pemacu Ekonomi ASEAN”, terbitan Bernama TV malam ini. 

Oleh itu, Bottreau berkata penting untuk usahawan muda ASEAN mengambil kesempatan ini dengan memanfaatkan pelbagai peluang yang ada, termasuk menyertai Karnival Usahawan Muda ASEAN (ASEAN Entrepreneur Carnival), sebuah platform menghimpunkan peserta dari rantau itu dan rakan antarabangsa untuk meneroka potensi baharu dalam perdagangan dan pelaburan.

Usahawan tempatan Chew Jon Kin

Sementara itu, usahawan tempatan yang juga peserta karnival berkenaan Chew Jon Kin berkata acara itu, membolehkan para usahawan muda ASEAN sepertinya berkongsi dan memadankan perniagaan mereka dengan pelabur berpotensi, serta mendapatkan sokongan untuk membawa perniagaan mereka ke peringkat seterusnya.

Berlangsung selama dua hari bermula 15 Okt, karnival bertemakan Connecting ASEAN, Creating Global Change itu, hasil usaha bersama AYEC, Persatuan Usahawan Muda Malaysia (MAYA) dan Majlis Belia Malaysia (MBM), yang mencerminkan hasrat kolektif untuk membina ekosistem tanpa sempadan bagi memperkasakan usahawan muda di seluruh Asia Tenggara.

-- BERNAMA