ASEAN Berada Di Landasan Untuk Muktamadkan DEFA Pada 2026 - Tengku Zafrul

24/10/2025 10:58 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- ASEAN yakin dapat menyelesaikan usaha boleh laksana ke arah pemuktamadan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) tepat masanya pada 2026, yang akan mengukuhkan peranan rantau ini dalam membentuk ekonomi digital global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industr, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang mempengerusikan Sesi Khas Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) mengenai DEFA berkata kerjasama itu menyediakan platform yang tepat pada masanya untuk negara anggota menilai kemajuan rundingan DEFA.

Beliau berkata selain itu, perkara lebih utama adalah bagi membincangkan dua isu penting yang memerlukan panduan dasar.

“Isu tersebut adalah berkaitan layanan terhadap duti kastam bagi penghantaran elektronik dan pelaksanaan komitmen perkhidmatan kewangan berhubung lokasi kemudahan pengkomputeran,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Sesi Khas AECC mengenai DEFA di sini, hari ini.

Beliau berkata ASEAN juga akan menerima maklumat mengenai perkembangan terkini berkenaan dengan pelan kerja ke arah pemuktamadan DEFA sepenuhnya pada 2026, yang akan berfungsi sebagai pelan hala tuju strategik bagi usaha bersama berterusan rantau ini.

“Susulan Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan DEFA ke-14 yang diadakan awal bulan ini, saya gembira dengan kemajuan yang konsisten dan ketara yang telah dicapai sejak sesi khas pertama kita pada 28 Ogos, 2025.

“Kerja berterusan Jawatankuasa Rundingan mencerminkan komitmen bersama kita untuk melaksanakan DEFA sebagai antara Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) Malaysia bagi tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA