Menteri Ekonomi ASEAN Mulakan Perbincangan Awal Sebelum Mesyuarat AECC Ke-26
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Ketika kebanyakan delegasi ASEAN sedang bersiap untuk sarapan, Malaysia, Singapura dan Indonesia memulakan perbincangan seawal pukul 7.30 pagi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, lokasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Sambil menikmati sarapan ringan, iaitu pastri, buah-buahan dan kopi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura Gan Kim Yong serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto memulakan perbincangan mengenai isu-isu ekonomi yang menjadi kepentingan rantau ini.
Mereka bertemu di tingkat tiga di KLCC selama 30 minit untuk sesi taklimat pramajlis sebelum Sesi Khas Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) serta persiapan untuk Mesyuarat AECC ke-26 hari ini.
Ketika ditemui Bernama, Tengku Zafrul berkata pertemuan dengan Singapura dan Indonesia pagi ini adalah sebagai persiapan kepada Mesyuarat AECC ke-26 apabila negara-negara anggota ASEAN akan memulakan perbincangan mengenai DEFA dan menyelasaikan isu yang belum dipersetujui.
“Dalam mesyuarat AECC itu juga, kita ada perbincangan mengenai 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) dan Pelan Strategik AECC 2026-2030 serta kita akan membincangkannya, apa yang perlu dibuat dalam tempoh lima tahun ke hadapan.
“Selepas itu, (jika) semua dipersetujui, usul akan dibawa kepada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN pada Ahad ini,” kata Tengku Zafrul.
Beliau turut dijadualkan mempengerusikan Mesyuarat AECC ke-26 dan menyampaikan ucapan pembukaan pada sesi tersebut.
Tengku Zafrul juga akan menghadiri majlis pelancaran Inisiatif ASEAN mengenai Keterangkuman dan Kemampanan serta Forum Pelaburan ASEAN (AIF) 2025 yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) petang ini.
AECC merupakan badan penyelaras utama yang memantau pelaksanaan kerja di bawah tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN, satu daripada tiga Majlis Komuniti ASEAN. Mesyuarat AECC diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di KLCC dari 26 hingga 28 Oktober.
Sidang kemuncak ini dijangka menjadi antara mesyuarat terbesar dalam sejarah blok tersebut, menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama yang lebih baik selain menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh dan inklusif.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas kali terakhir menerajuinya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA
