Biobahan Api, Tenaga Solar Dikenal Pasti Sebagai Projek Sedia Pelaburan Strategik Bagi ASEAN

24/10/2025 08:47 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Biobahan api dan tenaga solar dikenal pasti sebagai projek sedia pelaburan strategik bagi ASEAN untuk tempoh 2025 hingga 2030, satu langkah yang akan memperkukuh komitmen bersama blok itu terhadap pelaburan mampan serta pemeliharaan alam sekitar.

Semua projek itu telah dikenal pasti berdasarkan Pelan Tindakan Penggalakan Pelaburan Serantau ASEAN (RIPAP), yang bertujuan menjajarkan strategi pelaburan negara dengan keutamaan serantau.

Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UN ESCAP) pada Forum Pelaburan ASEAN 2025 (AIF 2025) yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan yang dianjurkan oleh Malaysia.

Kenyataan itu menjelaskan sektor tersebut dipilih berdasarkan potensi pertumbuhan yang kukuh, keselarasan dengan matlamat pembangunan negara serta kaitannya dengan rantaian nilai serantau.

“Bagi pelabur yang mencari peluang kemasukan yang boleh dilaksanakan dalam transformasi perindustrian mampan ASEAN, AIF 2025 menawarkan akses langsung kepada projek yang boleh dipercayai, pandangan bernilai di peringkat negara serta peluang kerjasama serantau,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu, RIPAP dilancarkan secara rasmi semasa AIF 2024 di Laos.

AIF bagi edisi ketiga itu adalah anjuran bersama MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sekretariat ASEAN (ASEC), Jawatankuasa Penyelarasan Pelaburan ASEAN (CCI), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan UN ESCAP.

Forum itu turut mengukuhkan lagi kedudukan ASEAN sebagai destinasi pelaburan yang stabil, telus dan dinamik.

AIF 2025 menyasar untuk memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai rantau yang bersepadu, berdaya tahan dan sedia menerima pelabur dengan menggalakkan pelaburan asing (FI) sebagai pemacu utama bagi transformasi ekonomi yang inklusif dan mampan.

Selain itu, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara ESCAP dan ASEAN-BAC, yang menekankan komitmen bersama untuk memperkukuh kesalinghubungan serantau, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan serta menyokong pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh ASEAN melalui inisiatif pembangunan kapasiti bersama, dialog dasar dan bantuan teknikal.

Peserta turut terlibat dalam program sepanjang hari yang merangkumi perbincangan sektor khusus, pameran praktikal pelaburan serta peluang jaringan.

Antara sesi yang diketengahkan termasuk prospek pelaburan bersepadu dalam penyahkarbonan industri, pembuatan pintar, kesihatan dan sains hayat serta tenaga boleh baharu.

Forum itu juga berperanan sebagai platform dialog antara agensi penggalakan pelaburan, pembuat dasar dan pihak berkepentingan sektor swasta bagi menggalakkan aliran pelaburan yang mampan dan inklusif.

“Selain itu, sesi pleno peringkat menteri turut membincangkan daya saing ASEAN dalam landskap global yang sedang berubah, dengan menekankan peranan ASEAN sebagai rakan yang stabil dan dipercayai bagi pelaburan berkualiti.

“Kalangan menteri membincangkan kepentingan memperkukuh kesepaduan serantau, menjajarkan strategi penggalakan pelaburan negara dengan keutamaan sektor ASEAN serta memanfaatkan pelaburan asing untuk menyokong kemampanan, inovasi dan pertumbuhan inklusif,” jelas MITI dan UN ESCAP.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata kekuatan ASEAN terletak pada perpaduan dan matlamat bersama.

“Melalui Keberhasilan Utama Ekonomi (PED), kita sedang memajukan saranan pelaburan serantau, memperkukuh kedudukan kita sebagai blok yang bersepadu, berdaya tahan dan sedia menerima pelabur, di samping meletakkan asas bagi pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

“Melalui kerjasama yang lebih erat antara pelabur, kerajaan dan agensi penggalakan pelaburan, kita juga sedang membentuk ASEAN sebagai hab dinamik untuk peluang, inovasi dan kemakmuran jangka masa panjang,” katanya.

-- BERNAMA