Kehadiran Trump Ke Sidang Kemuncak ASEAN Lonjak Keyakinan Pelabur Serantau
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) memberi isyarat positif kepada para pelabur bahawa AS masih menganggap hubungan dengan ASEAN sebagai sesuatu yang penting.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Mastura Ahmad Mustafa berkata kehadiran Trump memberi peluang kepada negara-negara ASEAN yang diterajui oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk menonjolkan peranan rantaian bekalan di seluruh rantau ini.
Beliau berkata produk yang dihasilkan oleh negara-negara ASEAN sebenarnya bukan untuk bersaing dengan AS, sebaliknya saling melengkapi bagi memenuhi keseluruhan rantaian bekalan global.
“Jadi, apabila beliau datang ke sini dan berpeluang melihat sendiri serta berjumpa secara bersemuka, ia lebih memudahkan negara-negara ASEAN meyakinkan AS bahawa ASEAN merupakan sebuah rantau yang stabil dan penting dalam keseluruhan rantaian bekalan global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang bertajuk “Trump ke KL: Antara Prinsip, Pengaruh dan Prospek”, yang dihoskan oleh Wan Syahrina Wan Ab Rahman pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mastura yang juga Ketua Perunding Malaysia bagi rundingan tarif rasmi AS menegaskan bahawa sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia kekal dengan pendirian sebagai satu rantau yang neutral.
“Kita tidak memilih pihak. Kita tidak hanya berkawan dengan beberapa negara dan meninggalkan yang lain. ASEAN menerima semua negara yang ingin bekerjasama serta dapat membantu dalam usaha membangunkan ekonomi rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Politik Antarabangsa dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani menyifatkan kehadiran Presiden AS itu sebagai usaha untuk mewujudkan keseimbangan bagi menyaingi pengaruh China yang kini menguasai Asia Tenggara dari segi perdagangan dan ekonomi.
Beliau berkata kehadiran Presiden AS itu berbeza berbanding bekas-bekas Presiden AS yang terdahulu seperti Lyndon B. Johnson yang datang semasa era Perang Dingin dan Barack Obama yang melawat Malaysia pada 2014 ketika negara ini masih dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
“(Kehadiran Trump) kali ini lebih tertumpu kepada aspek yang berbeza, di mana saya melihat tumpuannya adalah terhadap hubungan perdagangan antara ASEAN dan AS, bagaimana ia dapat dipertingkatkan serta kemungkinan untuk melakukan rundingan semula dalam konteks tarif.
“Yang kedua adalah dari segi keselamatan. Laut China Selatan sudah tentu menjadi antara agenda utama selain isu Myanmar dan konflik antara Kemboja dan Thailand,” katanya yang juga menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara itu.
Dalam konteks ini, Mohd Azizuddin berkata kerjasama berterusan antara AS dan negara-negara ASEAN dilihat sebagai usaha untuk memulihkan serta mengembalikan dominasi Amerika di rantau ini.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Acara itu bakal menjadi antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok itu yang berperanan sebagai platform penting untuk memupuk kerjasama lebih mendalam serta menangani cabaran serantau dan global secara bersepadu dan inklusif.
Lebih 30 ketua negara dan kerajaan, termasuk pemimpin ASEAN dan rakan dialog utama seperti AS, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan Kanada, dijangka hadir.
Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sejak 1967, selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA
