Pilihan Raya Yang Inklusif Penting Untuk Merealisasikan Keamanan Di Myanmar - Sihasak
Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi dan Voon Miaw Ping
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Thailand akan terus menggesa pihak berkuasa Myanmar memastikan pilihan raya umum yang dirancang diadakan pada akhir tahun ini dijalankan secara inklusif, membabitkan semua pihak berkepentingan dan rakyat negara itu.
Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow berkata pilihan raya itu seharusnya menjadi sebahagian daripada proses damai yang menggalakkan dialog dan membawa ke arah keamanan yang berkekalan.
“Thailand akan terus menggesa kerajaan di Naypyidaw supaya menjadikan pilihan raya tersebut lebih inklusif dan mengadakan dialog sebelum itu.
“Kami juga berpendapat pilihan raya bukanlah penamat bagi segalanya. Ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada proses damai yang melibatkan dialog berterusan dan usaha memupuk perdamaian agar keamanan yang berkekalan dapat dicapai,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di sini semalam.
Beliau berkata 2025 merupakan tahun yang amat penting bagi keamanan di Myanmar kerana hasil daripada pilihan raya itu, jika diadakan, akan menentukan sama ada negara itu bergerak ke arah perdamaian dan kestabilan atau terus terjerumus ke lembah perpecahan serta ketidakstabilan yang berpanjangan.
Pihak berkuasa Myanmar telah mengumumkan bahawa pilihan raya akan diadakan pada 28 Dis ini meskipun terdapat gesaan agar usaha yang memfokus kepada keamanan dan kestabilan negara diberikan keutamaan.
Sihasak, yang kini berada Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, turut menyeru para pemimpin blok itu supaya mempertimbangkan pelantikan Utusan Khas Tetap mengenai Myanmar bagi menangani kemelut berpanjangan di negara tersebut.
“Saya berpandangan bahawa mungkin di Kuala Lumpur ini adalah masa yang sesuai untuk kita benar-benar membincangkan semua perkara ini iaitu utusan khas yang bagaimana yang kita perlukan, apakah mandatnya dan untuk berapa lama,” katanya.
Beliau berkata meskipun peranan menerajui perbincangan itu terletak pada Pengerusi, Thailand akan berusaha memberikan sumbangan secara konstruktif dalam perbincangan tersebut.
Sihasak juga berkata terdapat keperluan untuk memberikan perhatian yang lebih di peringkat serantau terhadap isu ketidakstabilan di Myanmar, yang bukan sahaja memberi kesan buruk kepada rakyat negara itu tetapi juga terhadap keseluruhan rantau ASEAN, termasuk isu keselamatan di sepanjang sempadaan Myanmar dan Thailand.
Beliau turut mengingatkan bahawa krisis itu perlu ditangani secara berhati-hati agar tidak menjejaskan kepusatan dan kredibiliti ASEAN.
“Kita juga perlu meneliti cara untuk memperkukuh pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
5PC, yang dipersetujui oleh para pemimpin ASEAN pada April 2021, dirangka sebagai pelan tindakan bagi memulihkan keamanan dan kestabilan di Myanmar selepas rampasan kuasa pada Februari tahun sama, yang menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.
Konsensus itu menyeru agar keganasan dihentikan serta-merta, dialog secara konstruktif diadakan dengan semua pihak berkepentingan bagi memulihkan keamanan dan kestabilan, melantik Utusan Khas Pengerusi ASEAN untuk memudah cara proses pengantaraan, menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar serta membenarkan lawatan oleh utusan dan delegasi untuk bertemu semua pihak yang berkaitan.
Bagaimanapun, tidak banyak kemajuan yang dicapai kerana pihak tentera yang berkuasa di negara itu terus mengabaikan gesaan untuk mengadakan dialog selain tidak menunjukkan usaha yang berterusan ke arah mencapai keamanan dan kestabilan.
“Cara ASEAN menangani krisis ini akan, pada tahap yang signifikan, memberi kesan terhadap kepusatan dan kredibiliti ASEAN,” katanya.
Krisis di Myanmar dan pilihan raya yang dirancang, dijangka menjadi antara agenda utama dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 selama tiga hari, yang bermula hari ini, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, yang bertema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
-- BERNAMA
