Jepun Sokong Usaha Malaysia Perkukuh Integrasi Ekonomi ASEAN Di Bawah RCEP, CPTPP

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata, ketika wawancara khas bersama Bernama sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kedutaan Jepun.
25/10/2025 01:16 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Jepun menyatakan sokongan kukuh terhadap kepimpinan Malaysia dalam memacu integrasi ekonomi ASEAN, manakala kerjasama teguh menerusi dua perjanjian akan mendorong menyeragamkan piawaian, melancarkan perdagangan rentas sempadan dan mengukuhkan rantaian bekalan di seluruh blok itu.

Dua perjanjian itu meliputi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata berkata Tokyo melihat RCEP dan CPTPP sebagai dua tonggak utama platform perdagangan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, dan akan terus bekerjasama rapat dengan Malaysia untuk memperkukuh integrasi pasaran serantau.

“Kedua-dua kerangka ini penting bagi memastikan kesinambungan rantaian bekalan serta perdagangan berasaskan peraturan di rantau ini.

“Di bawah kepengerusian Malaysia, kita bergerak sehaluan ke arah ekonomi serantau yang lebih saling berhubung dan berinovasi. Antara Jepun dan Malaysia, kedua-duanya adalah negara berorientasi perdagangan bebas dan memeterai perjanjian perdagangan bebas,” katanya.

Shikata berkata Tokyo juga akan terus menggalakkan peraturan perdagangan berstandard tinggi yang menggalakkan inovasi, pelaburan dan pertumbuhan inklusif.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Bernama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang kemuncak berkaitan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Sidang kemuncak selama tiga hari bermula Ahad hingga Selasa (26-28 Okt) itu dijangka menghimpunkan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun.

Perdana Menteri Jepun yang baharu dilantik, Sanae Takaichi, yang mula memegang jawatan pada 21 Okt, 2025, dijadual berlepas ke Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri sidang kemuncak itu serta mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN.

CPTPP merupakan perjanjian perdagangan bebas melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, United Kingdom dan Vietnam, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) gabungan kira-kira US$15.8 trilion (US$1 = RM4.22), mewakili 14.4 peratus daripada KDNK global.

Sementara itu, RCEP, yang disifatkan sebagai zon perdagangan bebas terbesar dunia selepas rundingan selama lapan tahun, merangkumi negara anggota ASEAN bersama Australia, China, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan, serta menyumbang 30 peratus daripada KDNK dunia.

Mengulas lanjut, Shikata berkata kebanyakan syarikat Jepun di ASEAN masih berdepan peraturan pelaburan yang berbeza-beza mengikut negara, sekali gus mengehadkan kecekapan operasi rentas sempadan dalam rantaian nilai serantau.

“Peraturan yang diseragamkan dan keterhubungan yang lebih baik dapat memperkukuh rantaian nilai serantau serta membantu mencegah gangguan pada masa hadapan.

“Buat masa ini, pasaran ASEAN masih agak terpecah-pecah. Sebagai contoh, syarikat automotif yang menghasilkan komponen di Kemboja menghadapi gangguan perdagangan rentas sempadan susulan pertikaian sempadan Thailand-Kemboja,” katanya.

Beliau berkata Jepun mengalu-alukan usaha Malaysia dan ASEAN untuk mengurangkan cabaran tersebut melalui penyelarasan peraturan dan inisiatif pendigitalan, yang dapat menggalakkan lebih banyak pelaburan rentas sempadan di bawah RCEP dan CPTPP.

Mengulas mengenai landskap perdagangan global yang lebih luas, Shikata berkata Jepun kekal terbuka terhadap kemungkinan penglibatan semula Amerika Syarikat dalam rangka kerja CPTPP, namun mengakui keputusan itu bergantung kepada Washington.

Beliau berkata keamanan dan kestabilan kekal sebagai asas kepada perdagangan serantau, dengan merujuk situasi di Myanmar dan Laut China Selatan sebagai kemungkinan risiko bagi rantaian bekalan dan keterjaminan tenaga.

“Keamanan amat penting. (Sebagai contoh), sekiranya Petronas meneroka sumber tenaga dan usaha itu terganggu, keadaan tersebut merupakan berita buruk dari segi keterjaminan tenaga,” katanya.

-- BERNAMA