ASEAN-PAC Ke-21 Perkukuh Komitmen Serantau Perangi Rasuah
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) ke-21 yang dijadual berlangsung dari 28 hingga 30 Okt ini, melambangkan komitmen berterusan negara sebagai peneraju serantau dalam agenda memerangi rasuah.
Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Rasidah Abdul Karim berkata mesyuarat dianjurkan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor itu sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Ia menepati tema (Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025) “Keterangkuman dan Kemampanan” yang menzahirkan tekad negara untuk memperkukuh perpaduan, integriti dan kebertanggungjawaban dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Langkah ini turut memperlihatkan komitmen Malaysia terhadap misi global menentang rasuah melalui kerjasama diplomatik dan perkongsian kepakaran di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ASEAN-PAC adalah platform serantau yang menghimpunkan agensi pencegahan rasuah dari 10 negara ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, serta penyertaan Timor-Leste sebagai pemerhati.
Rasidah berkata platform itu memainkan peranan penting untuk memperkukuh kerjasama rentas sempadan termasuk perkongsian maklumat, latihan bersama serta pelan tindakan kolektif bagi menangani cabaran integriti di rantau ini.
Beliau berkata Malaysia melalui SPRM, yang ketika itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) merupakan antara pengasas utama ASEAN-PAC dan pernah menjadi tuan rumah Mesyuarat Principals pertama pada 2005 serta mesyuarat ke-10 pada 2015.
“Tahun ini, SPRM sekali lagi menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik serantau dalam agenda antirasuah,” katanya.
Bertemakan Strengthening ASEAN Unity: Public-Private Collaboration in Combating Corruption, mesyuarat kali ini membuka lembaran baharu dengan menekankan kerjasama sektor awam dan swasta dalam membina ekosistem ekonomi berintegriti serta berdaya tahan, sejajar dengan matlamat pembangunan mampan.
Selain penyertaan agensi antirasuah ASEAN, mesyuarat turut melibatkan organisasi antarabangsa seperti Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Pertubuhan Pihak Berkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA) dan Platform for International Academic Cooperation on Anti-Corruption (PIACCF) bagi memperkaya perbincangan.
Antara agenda utama ialah kajian semula Pelan Tindakan ASEAN-PAC 2023-2025, pengesahan Pelan 2026-2028 serta pembentangan pengalaman negara anggota dalam melaksanakan inisiatif antirasuah masing-masing.
Tiga acara sampingan turut dirancang iaitu Showcase of Prevention Work, High-Level Dialogue on Private Sector Compliance and Culture of Integrity bersama UNODC serta Program Hospitaliti dan Lawatan bagi memperkenalkan budaya Malaysia kepada delegasi.
SPRM juga akan memperkenalkan Portal ASEAN-PAC, platform digital interaktif bagi pertukaran maklumat, latihan dan amalan terbaik serantau yang mencerminkan transformasi digital Malaysia dalam memperkukuh diplomasi antirasuah di peringkat antarabangsa.
Rasidah berkata penganjuran berkenaan bukan sekadar pertemuan tahunan, tetapi juga manifestasi kesepakatan ASEAN menolak budaya rasuah dan memperkukuh keyakinan global terhadap integriti rantau ini.
“Bagi Malaysia, penganjuran ini mengangkat imej negara sebagai hab diplomasi antirasuah serantau dan pusat rujukan integriti yang berwibawa.
“Bagi ASEAN pula, mesyuarat ini menjadi medan penting membentuk pelan tindakan yang inklusif, mampan dan berdaya saing menuju aspirasi sebuah rantau bebas rasuah dan berintegriti tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
