Penyertaan Timor-Leste Ke ASEAN, Cerminkan Perpaduan Dan Keterangkuman Blok  

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) menyambut mesra Perdana Menteri Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmao, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
27/10/2025 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, berbesar hati mengalu-alukan Timor-Leste ke dalam komuniti serantau itu, kata Timbalan Duta Malaysia ke Timor-Leste Jemimah Ujang.

Beliau berkata peristiwa itu amat bermakna kerana berlaku semasa Malaysia menjadi pengerusi ASEAN yang melaungkan tema “Keterangkuman dan Kemampanan.”

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berbangga menyaksikan peristiwa penting ini menjadi kenyataan di bawah kepengerusian kita, yang mencerminkan komitmen ASEAN terhadap perpaduan, keterangkuman dan identiti serantau yang dikongsi bersama,” katanya semasa Sambutan Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN di Dili, semalam.

Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta

Teks ucapan beliau dikongsikan kepada Bernama.

Beliau berkata kemasukan Timor-Leste secara rasmi sebagai anggota ASEAN ke-11 semalam di Kuala Lumpur melambangkan kemuncak kerjasama serantau selama bertahun-tahun dan sokongan padu Malaysia terhadap aspirasi penyertaan itu. 

“Ia detik yang membanggakan bagi ASEAN dan amat bermakna bagi kita semua yang telah bersama-sama Timor-Leste sepanjang perjalanannya,” katanya.

Delegasi Timor-Leste, Fransisca Maia, kelihatan sebak apabila negaranya meraikan pencapaian bersejarah dengan diterima sebagai negara anggota ke-11 ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Jemimah berkata Malaysia secara konsisten menyokong persiapan Timor-Leste untuk menjadi ahli ASEAN, komitmen yang ditegaskan semula oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan rasminya ke Dili pada September.

“Malaysia sentiasa percaya pada potensi Timor-Leste untuk mengukuhkan Komuniti ASEAN dan kami berbesar hati dapat ‘menemani’ anda sepanjang perjalanan ini,” katanya.

Beliau berkata kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN akan meningkatkan dinamik dan perpaduan blok itu dengan sejarahnya yang unik, kekayaan budaya dan komitmen teguh terhadap keamanan dan demokrasi bagi menyumbang kepada kemajuan kolektif rantau itu.

Timor-Leste secara rasmi menjadi anggota ASEAN ke-11 semalam selepas pemeteraian Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA