Albanese Mulakan Lawatan Rasmi Ke Malaysia Hari Ini Selepas Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese
28/10/2025 11:08 AM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Australia Anthony Albanese akan memulakan lawatan rasmi ke Malaysia hari ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini.

Lawatan atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah lawatan rasmi pertama beliau sejak memegang jawatan berkenaan pada 21 Mei 2022.

Semasa lawatan itu, Anwar dan Albanese akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Tahunan Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Australia (ALM) ketiga.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua perdana menteri dijangka membincangkan langkah memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan, kolaborasi dalam tenaga boleh baharu dan teknologi hijau, pendidikan dan jalinan antara rakyat, hubungan pertahanan dan keselamatan serta kerjasama dalam sektor halal dan sektor belia dan sukan. 

“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa termasuk kepusatan ASEAN, situasi di Timur Tengah dan Indo-Pasifik serta kerjasama maritim.

“Anwar dan Albanese juga dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Jenayah Rentas Sempadan Negara dan dalam bidang Pendidikan, diikuti majlis perasmian penubuhan kampus baharu Universiti Monash di Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Menurut Kementerian Luar, hubungan dua hala Malaysia-Australia telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2021, yang memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka bidang kerjasama baharu di bawah tiga tonggak utama CSP, iaitu kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi serta pertahanan dan keselamatan serantau.

Australia kekal sebagai rakan dagang penting kepada Malaysia.

Pada 2024, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia bernilai RM51.50 bilion (USD11.87 bilion), dengan eksport Malaysia berjumlah RM32.23 bilion (USD7.44 bilion) dan import sebanyak RM19.27 bilion (USD4.43 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga September lepas, jumlah perdagangan kedua-dua negara adalah sebanyak RM58.01 bilion (USD13.41 bilion). Setakat Jun lepas, jumlah terkumpul pelaburan Australia di Malaysia direkodkan sebanyak RM6.12 bilion (USD1.73 bilion).

-- BERNAMA