Anwar Lakar Kejayaan Sebagai Tuan Rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, Angkat Kedudukan Malaysia Di Mata Dunia
Oleh M.Saraswathi
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 2025 mencatatkan pencapaian diplomatik yang gemilang untuk negara selepas membuktikan kepimpinan beliau dalam landskap serantau dan global yang berkembang pesat serta ada kalanya tidak menentu.
Peranan Putrajaya semakin ketara apabila keanggotaan ASEAN diperluas kepada 11 negara buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun dengan penyertaan Timor-Leste, selain menjadi tuan rumah kepada lebih 30 pemimpin dan ketua negara serta pegawai tinggi, pada masa sama memudah cara perjanjian damai antara dua negara jiran, Thailand dan Kemboja.
Persidangan kali ini menjadi platform yang menghimpunkan paling ramai pemimpin dunia di rantau ini pada tahun ini, sekali gus memperlihatkan keupayaan Malaysia menyatukan pelbagai negara termasuk kuasa besar.
Negara-negara yang berdepan situasi tegang, terutamanya dengan isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) berada di ibu kota ini.
Namun demikian, sidang kemuncak ini mencapai kesepakatan apabila semua negara komited demi kebaikan, keamanan dan kemakmuran bersama.
Ternyata, persidangan ini memperkukuh diplomasi pakar Malaysia dalam menyelaraskan semula hala tuju dan memainkan peranan strategik sebagai pendamai dalam menghadapi orde baharu serta memastikan negara dan ASEAN terus berdaya saing.
Kehadiran Presiden AS Donald Trump di Kuala Lumpur buat kali pertama yang mencatatkan sejarah menunjukkan kesungguhan dan komitmen Washington untuk memperkukuh kerjasama keselamatan dan ekonomi dengan ASEAN serta negara-negara Asia lain, menggariskan peranannya sebagai antara rakan dialog utama perkumpulan itu walaupun berdepan isu tarif.
Di bawah kepimpinan Malaysia, sidang kemuncak itu menumpukan perbincangan ekonomi yang memberikan impak, memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai hab pelaburan yang berdaya tahan dan menarik.
Anwar turut melangkaui sempadan tradisional ASEAN dan merealisasikan tema ASEAN, “Keterangkuman dan Kemampanan” dengan mempelawa pemimpin dari luar ASEAN dan negara rakan dialognya.
Ini termasuk Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, yang menerajui perkumpulan BRICS (Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan) dan Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa, yang akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg pada November ini.
Pemimpin terkemuka lain yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ialah Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, Perdana Menteri baharu Jepun Sanae Takaichi, Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão dan Presidennya, José Ramos-Horta manakala Perdana Menteri India Narendra Modi menghadirinya secara maya.
Dalam perdagangan dan rantaian bekalan global mengalami perubahan, diplomasi cekap dan kepimpinan pragmatik Malaysia telah mencerminkan ASEAN sebagai rakan kongsi yang berwibawa kepada negara maju dan sedang berkembang.
Antara inisiatif ke arah ini termasuklah perjanjian serantau pertama dunia yang hanya memberi tumpuan kepada tadbir urus ekonomi digital – iaitu Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang bakal dimeterai pada 2026.
DEFA, yang akan menyelaraskan peraturan perdagangan digital dan memanfaatkan potensi ekonomi digital ASEAN serta memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), merupakan pelan tindakan strategik yang membolehkan penduduk seramai 680 juta di rantau ini mengakses masa depan digital yang terbuka, selamat dan inklusif.
Walaupun disesuaikan dengan konteks unik ASEAN, DEFA mengekalkan kepentingan global dengan mengimbangi matlamat dan fleksibiliti, memastikan semua negara anggota, tanpa mengira tahap pembangunan digital mereka, dapat menikmati manfaatnya.
Menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), tidak seperti peruntukan digital dan e-dagang yang dimasukkan dalam perjanjian perdagangan yang lebih luas seperti Perjanjian Perdagangan Digital Kesatuan Eropah (EU)-Singapura, DEFA sebaliknya menyerlah sebagai kerangka khusus dan menyeluruh untuk mengatasi kerumitan serta menumpukan kepada peluang dalam ekonomi digital.
Sementara itu, Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN yang diadakan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 merupakan detik penting sebagai platform yang tepat pada masanya untuk menangani cabaran geopolitik dan ekonomi yang semakin meningkat.
Langkah ini amat penting untuk mendorong ke arah hasil yang boleh dicapai di samping membina kestabilan dan keselamatan ekonomi serantau.
Ia juga aspek penting dalam mengatasi cabaran geopolitik dan ekonomi yang saling berkaitan serta satu perubahan ketara sebagai tindak balas adaptif terhadap landskap global yang semakin tidak boleh dijangka.
Ini kerana setiap dasar ekonomi membawa implikasi politik, begitu juga setiap keputusan politik mempunyai kesan ekonomi yang besar.
Menerusi usaha menggalakkan dialog dalam bidang penting dan pelbagai, Malaysia bukan sahaja membuktikan penyelarasan serantau malah menunjukkan kesediaan untuk memimpin dalam bidang yang akan membentuk fasa persaingan ekonomi global dan perubahan geopolitik baharu.
Dalam pada itu, penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 juga menjadi tumpuan utama sidang kemuncak di Kuala Lumpur.
Peristiwa bersejarah dilakar Dili itu menandakan perluasan jangkauan ASEAN untuk menaungi setiap negara berdaulat di rantau Asia Tenggara.
Dalam usaha itu, Timor-Leste melalui perjalanan yang panjang sejak permohonan keanggotaan ASEAN dibuat secara rasmi pada 2011.
Negara terakhir yang menyertai ASEAN sebelum Timor-Leste ialah Kemboja, yang menjadi ahli ke-10 pada 30 April 1999.
Beberapa perjanjian perdagangan termasuk perjanjian yang dimeterai antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) di samping naik taraf perjanjian sedia ada, perbincangan mengenai isu berkaitan tarif, serta inisiatif untuk memperkukuh integrasi serantau mewarnai sidang kemuncak di Kuala Lumpur.
Selain DEFA, antara inisiatif utama lain ialah memperkukuh Grid Tenaga ASEAN serta menaik taraf perjanjian perdagangan dengan China (ACFTA 3.0), India (AITIGA), serta sesama negara anggota ASEAN melalui ATIGA.
Di samping itu, pelancaran Pusat Peralihan Hijau Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) ASEAN membuktikan komitmen Malaysia bahawa tiada perusahaan, tanpa mengira saiz, dipinggirkan.
Apabila PMKS berkembang maju, ASEAN turut menikmati kemakmuran.
Turut menjadi tumpuan ialah kehadiran dua kuasa besar ekonomi dunia, China dan AS, ketika peningkatan ketegangan perdagangan dua hala.
Selain itu, pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja, susulan pertikaian sempadan awal tahun ini, turut meraih tumpuan, dengan Malaysia bertindak sebagai pengantara.
Perjanjian antara Bangkok dan Phnom Penh itu telah dimeterai dengan disaksikan Perdana Menteri Malaysia dan Trump.
Bagaimanapun, sidang kemuncak ASEAN tidak lengkap tanpa membincangkan isu yang masih belum selesai berkaitan Myanmar dan pertikaian wilayah melibatkan Laut China Selatan.
Mengenai Myanmar, ASEAN mengulangi gesaannya kepada pentadbiran negara itu untuk mematuhi Konsensus Lima Perkara, iaitu menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar, memulakan dialog yang membina antara semua pihak yang terlibat, melantik wakil khas, bantuan kemanusiaan oleh ASEAN dan lawatan wakil khas ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak berkepentingan.
Mengenai isu Laut China Selatan, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menegaskan bahawa perkara ini tidak harus ditangani secara defensif, sebaliknya dengan komitmen untuk berdialog.
Anwar turut mengakui bahawa Malaysia mempunyai isu sempadan maritim yang belum selesai, bukan sahaja dengan China malah dengan Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina, yang mencerminkan kedudukan unik negara ini.
Meskipun berdepan cabaran ini, Anwar berkata saluran komunikasi sentiasa terbuka untuk mengelak sebarang peningkatan ketegangan dalam pertikaian tersebut.
Perdana Menteri secara konsisten dan berhati-hati menangani kebimbangan ini, pada masa yang sama menekankan pendekatan proaktif dan kerjasama Malaysia dalam usaha mencapai penyelesaian yang aman dan saling memberi manfaat.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas kali terakhir menerajuinya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
Acara tahunan ini terdiri daripada Sidang Kemuncak ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN+1 antara ASEAN dan tujuh rakan dialog, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, Rusia dan AS serta Sidang Kemuncak ASEAN+3, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–New Zealand sempena ulang tahun ke-50 hubungan dialog antara ASEAN dan New Zealand.
Sidang kemuncak itu juga merupakan kemuncak Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, sebelum Filipina mengambil alih kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan 2026.
-- BERNAMA
