Warisan Serantau Diiktiraf Dunia, ‘Kebaya UNESCO’ Pamer Penyatuan Negara ASEAN 

28/10/2025 01:41 PM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Tahun lepas, dunia menyaksikan kejayaan bersejarah lima negara ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand berganding bahu dalam usaha mendapatkan pengiktirafan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kejayaan bersejarah itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan kebaya sebagai warisan budaya serantau, malah menjadi bukti komitmen kolektif negara ASEAN dalam memastikan busana tradisional itu terus lestari dan dihargai generasi akan datang. 

Pereka kebaya nyonya tempatan, Lim Yu Lin, 55, menghasilkan kebaya Thailand yang bercirikan warna merah jambu, dihiasi dengan motif gajah dan kenderaan tuk-tuk yang sinonim dengan negara berkenaan ketika ditemubual Bernama baru-baru ini. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi pereka kebaya nyonya tempatan, Lim Yu Lin, 55, semangat kesatuan yang terjalin antara lima negara itu menjadi inspirasi untuk beliau melahirkan koleksi khas ‘Kebaya UNESCO’ yang menampilkan elemen budaya setiap negara ASEAN berkenaan.

Lim, yang turut terlibat secara langsung dalam usaha mendapatkan pengiktirafan itu mengambil masa kira-kira enam bulan untuk menyiapkan koleksi eksklusif itu yang terdiri daripada enam helai kebaya, lima mewakili setiap negara dan satu lagi menggabungkan elemen lima negara dalam satu rekaan istimewa.

“Ketika Jabatan Warisan Negara mendekati saya untuk menghasilkan kebaya bagi pencalonan bersama empat negara lain, saya sedar kebaya bukan milik satu bangsa atau negara sahaja, sebaliknya ia adalah warisan bersama, jadi saya mahu reka sesuatu yang melambangkan penyatuan ini,” katanya kepada Bernama.

Pereka kebaya nyonya tempatan, Lim Yu Lin, 55, menghasilkan kebaya Singapura yang menampilkan bunga orkid dan ikon Merlion ketika ditemu bual oleh Bernama baru-baru ini. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau ditemui semasa mengadakan demonstrasi sulaman kebaya dan menyampaikan taklimat mengenai koleksi ‘Kebaya UNESCO’ kepada pasangan ketua negara dan kerajaan pada Program Pasangan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Carcosa Seri Negara pada Isnin. 

Lim berkata setiap helaian kebaya dalam koleksi itu menampilkan identiti tersendiri berasaskan bunga kebangsaan, warna simbolik serta elemen budaya setiap negara, namun masih berpaksikan kepada gaya kebaya nyonya yang merupakan warisan keluarganya ‘Ang Eng’ sejak tujuh dekad lepas.

“Saya kekal dengan asas kebaya nyonya kerana itulah akar perniagaan keluarga kami dan warisan yang ingin saya teruskan,” katanya yang merupakan generasi ketiga penerus seni sulaman kebaya nyonya Ang Eng yang telah bertapak sejak 1955. 

Pereka kebaya nyonya tempatan, Lim Yu Lin, 55, menghasilkan kebaya Thailand yang bercirikan warna merah jambu, dihiasi dengan motif gajah dan kenderaan tuk-tuk yang sinonim dengan negara berkenaan ketika ditemubual Bernama baru-baru ini. -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi koleksi Malaysia, Lim memilih rona hijau sebagai dasar yang melambang kehijauan hutan hujan tropika dan disulam indah dengan bunga raya serta imej harimau Malaya di bahagian belakang.

Koleksi Brunei pula tampil dengan rona hitam dan putih serta bunga simpuh, lengkap dengan gambaran istana dan perahu terapung, manakala Indonesia menyerlah dengan warna kuning keemasan, sulaman bunga Rafflesia dan burung geroda yang megah. 

Kebaya Singapura pula menampilkan bunga orkid dan ikon Merlion, manakala Thailand pula bercirikan warna merah jambu, dihiasi dengan motif gajah dan kenderaan tuk-tuk yang sinonim dengan negara berkenaan. 

Menurut Lim, ketika koleksi itu diperagakan di Asuncion, Paraguay pada Disember 2024 sebagai usaha mendapatkan pengiktirafan UNESCO, keenam-enam busana itu mendapat perhatian dan pujian daripada para delegasi luar yang memahami mesej penyatuan yang disampaikan melalui karya tersebut.

Bagi Lim, kebaya bukan hanya sehelai pakaian, tetapi bahasa budaya yang merentasi sempadan dan bangsa.

“Kebaya bukan milik satu kaum semata-mata. Ia boleh dipakai oleh sesiapa sahaja, Melayu, Cina, India, Nyonya kerana ia simbol perpaduan masyarakat dan kali ini saya amat bangga kerana dapat membawa koleksi ini ke pentas ASEAN pula dan menunjukkan kepada dunia bahawa kebaya bukan sekadar pakaian ia warisan yang menyatukan kita.

“Saya juga terharu melihat ramai anak muda kini benar-benar minat memakai kebaya tidak kira musim perayaan atau hari bersejarah negara mahupun hari biasa. Ini tanda warisan kita masih hidup dan terus berkembang,” katanya.

Malaysia melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Warisan Negara menerajui inisiatif mencalonkan ‘Kebaya: Knowledge, Skills, Traditions and Practices’ sebagai pencalonan bersama ke UNESCO pada 28 Mac 2023. 

Dalam menyokong pencalonan kebaya ke UNESCO, setiap negara mengadakan pelbagai program promosi sehingga busana tradisional itu berjaya mendapat pengiktirafan pada 4 Dis 2024, sempena sesi-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Pemeliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) yang diadakan pada 2 hingga 7 Dis 2024 di Asuncion. 

-- BERNAMA