Hubungan Malaysia-Vietnam Semakin Erat, Lebih Berorientasikan Hasil Berbanding Sebelumnya

01/11/2025 10:17 AM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Hubungan dua hala antara Malaysia dan Vietnam kini berada pada tahap paling dinamik sejak hubungan itu ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2024.

Timbalan Menteri Luar Vietnam Dang Hoang Giang berkata, kerjasama antara kedua-dua negara kini semakin kukuh, lebih mendalam dan berorientasikan hasil yang nyata.

“Kerjasama politik menjadi semakin erat di semua peringkat. Kedua-dua pihak mengekalkan pertukaran lawatan secara berkala di peringkat tinggi dan semua saluran, selain mengadakan pelbagai mekanisme kerjasama dua hala.

“Dalam tempoh kurang daripada setahun selepas penaiktarafan hubungan itu, kami telah mengadakan empat lawatan peringkat tinggi, mencapai pelbagai hasil penting dan menandatangani beberapa dokumen utama,” katanya dalam temu bual bertulis bersama Bernama sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang kemuncak berkaitan baru-baru ini.

Vietnam dan Malaysia secara rasmi menjalin hubungan diplomatik pada 30 Mac 1973 dan sejak itu membina hubungan kukuh berasaskan kepercayaan serta kerjasama, selain komitmen bersama terhadap ASEAN.

Tahun 2025 turut menjadi detik penting bagi kedua-dua negara, dengan Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN, manakala Vietnam meraikan ulang tahun ke-30 keanggotaannya dalam blok serantau itu.

Kedua-dua negara telah meningkatkan hubungan mereka kepada CSP pada November 2024 semasa lawatan rasmi Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam ke Malaysia.

Lawatan itu menandakan kunjungan pertama oleh Setiausaha Agung Parti Vietnam sejak Mac 1994, setahun sebelum Vietnam secara rasmi menyertai ASEAN.

Hubungan diperkukuh lagi melalui lawatan kerja Perdana Menteri Pham Minh Chinh pada Mei tahun ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Giang berkata, kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan kekal sebagai tumpuan utama hubungan dua hala yang pelbagai dimensi.

Malaysia kekal sebagai rakan dagang ketiga terbesar Vietnam dalam ASEAN, kesembilan terbesar di peringkat global dan antara sepuluh pelabur asing teratas di negara itu.

Perdagangan dua hala meningkat secara konsisten, mencecah US$18 bilion dengan sasaran untuk mencapai US$20 bilion menjelang 2030 secara lebih seimbang.

Kedua-dua pihak terus komited memperluas kerjasama dalam ekonomi digital, ekonomi mampan, peralihan tenaga adil, industri halal dan inovasi.

“Kami juga telah mencapai kemajuan ketara dalam kerjasama pertahanan dan keselamatan — termasuk latihan, penyelidikan, pemindahan teknologi pertahanan, perkongsian pengalaman dalam pencegahan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang maritim, serta usaha bersama memerangi aktiviti perikanan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal,” kata Giang.

Kerjasama turut berkembang dalam bidang tenaga, buruh, kebudayaan, pendidikan, pelancongan serta pertukaran rakyat dengan rakyat.

Di peringkat serantau dan antarabangsa, kedua-dua negara terus menyelaras secara rapat di pelbagai forum multilateral termasuk ASEAN dalam memperjuangkan pembangunan mampan, sambil mempromosikan hubungan sihat berasaskan multilateralisme, undang-undang antarabangsa dan norma bersama.

“Melangkah ke hadapan, saya menjangkakan Vietnam dan Malaysia akan terus membina kejayaan ini dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan berkesan Pelan Tindakan bagi Pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif (2026–2030),” kata beliau.

Pelan itu menumpukan kepada empat tonggak utama kerjasama, iaitu memperkukuh hubungan politik, pertahanan dan keselamatan, memperdalam hubungan ekonomi ke arah pertumbuhan mampan, memperluas kerjasama dalam bidang baharu seperti ekonomi mampan, inovasi, sains dan teknologi, pendidikan serta pertukaran rakyat dan menyokong serta menyelaras rapat dalam isu serantau dan antarabangsa.

“Saya yakin hubungan Vietnam–Malaysia akan terus berkembang pesat, menjadi model perkongsian dalam hubungan antarabangsa yang memberi manfaat kepada kedua-dua rakyat dan menyumbang kepada keamanan, kestabilan, kerjasama serta pembangunan di rantau ini,” kata Giang.

-- BERNAMA