Tahun Penuh Makna Buat Malaysia: Diplomasi Mampan Jadi Teras ASEAN 2025

01/11/2025 10:23 AM

Oleh Samantha Tan

PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Setiap kali Malaysia mempengerusikan ASEAN, negara itu meninggalkan jejak yang jelas dalam sejarah rantau ini.

Pada 1977, Kuala Lumpur memperjuangkan Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN), manakala pada 1997, Malaysia membantu ASEAN mengharungi Krisis Kewangan Asia.

Pada 2005, negara ini menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asia Timur pertama dan menyaksikan penubuhan Komuniti ASEAN pada 2015.

Kini pada 2025, legasi Malaysia kembali terserlah, kali ini melalui diplomasi mampan dan kepimpinan inklusif.

Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Zainal Abidin Sanusi berkata, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang baru berakhir di Kuala Lumpur membuktikan kemampuan Malaysia mengimbangi jangkaan global dengan realiti serantau.

Beliau berkata di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ASEAN menampilkan dirinya sebagai blok berhaluan tengah, berinteraksi dengan semua kuasa besar tanpa terikat dengan mana-mana pihak.

Sidang kemuncak itu menghimpunkan barisan pemimpin dunia luar biasa termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa serta Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Kanada Mark Carney, mencerminkan keyakinan global terhadap Malaysia sebagai pengantara dialog yang boleh dipercayai.

“Tindakan tenang Anwar dalam menangani tarif ‘Liberation Day’ yang diumumkan secara mengejut oleh Trump, menggugat pasaran Asia, namun menunjukkan kematangan diplomatik Malaysia.

“Daripada bertindak secara emosi, beliau mengalihkan perbahasan kepada prinsip saling menghormati, kemakmuran bersama dan sistem berasaskan peraturan. Ketenangan, bukan konfrontasi yang memenangi hari itu,” katanya kepada Bernama.

Zainal Abidin berkata antara pencapaian paling membanggakan Malaysia ialah kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, satu kejayaan yang dipacu dengan sabar di bawah kepengerusian Malaysia.

“Ia bukan sekadar simbolik. Ia adalah komitmen moral bahawa tiada negara di rantau ini harus dipinggirkan. 

"Keterangkuman bagi Malaysia bukan sekadar slogan, tetapi asas kepada kestabilan yang mampan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia turut memainkan peranan penting di luar sempadannya apabila berjaya memudah cara Deklarasi Bersama Keamanan dan Keselamatan Kemboja-Thailand yang dikenali sebagai Perjanjian Damai KL, disaksikan oleh Anwar dan Trump.

“Perjanjian itu menamatkan konflik sempadan paling berdarah dalam beberapa dekad dan meneguhkan peranan Malaysia sebagai pengantara yang dipercayai, berprinsip, meyakinkan dan bebas daripada tekanan,” katanya.

Menurut Zainal Abidin, kepimpinan Malaysia turut mentakrifkan semula konsep kemampanan bukan sebagai tema sampingan, tetapi sebagai strategi diplomasi teras.

“Daripada kerjasama ekonomi mampan dan integrasi digital hingga keselamatan tenaga dan kemampanan sosial, agenda ASEAN tahun ini mencerminkan keyakinan Kuala Lumpur bahawa keamanan berkekalan bergantung kepada pertumbuhan seimbang dan tanggungjawab bersama.

“Visi lebih luas ini menghubungkan kemakmuran dengan keadilan serta keterangkuman dengan kestabilan.

“Malaysia membuktikan bahawa kemampanan bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi seni bina baharu dalam diplomasi,” katanya.

Ketika Filipina bersedia untuk mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 2026, Zainal Abidin berkata negara itu mewarisi momentum dan mandat moral Malaysia.

“Manila kini perlu menterjemah visi kepada pelaksanaan – memacu pertumbuhan mampan, keterangkuman digital dan keadilan sosial di seluruh rantau. 

"Jika Malaysia telah menyalakan semula tujuan ASEAN, maka Filipina mesti merealisasikan janjinya,” katanya.

Dari Kuala Lumpur menuju Manila, penyerahan baton ini membawa erti lebih mendalam, satu seruan untuk mengekalkan kepimpinan ASEAN yang berpandukan nilai dan visi bersama.

-- BERNAMA