Malaysia Perkukuh Usaha Tangani Cabaran Kanak-kanak, Belia Keciciran Dalam Komuniti ASEAN - KPM
KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Malaysia terus mengukuhkan usaha menangani cabaran sistemik dan kompleks yang dihadapi kanak-kanak dan belia terpinggir di rantau ini menerusi penganjuran Seminar ASEAN Out-of-School Children and Youth pada 28 hingga 30 Okt lepas.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan seminar bertemakan "From Margin to Center: Bridging Out-of-School Children and Youth (OOSCY) Intersectionalities through Innovative Solutions" itu adalah tindakan susulan daripada persetujuan Langkawi Joint Statement yang merupakan hasil persidangan meja bulat antara Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN Jun lepas.
Menurut KPM, antara tumpuan utama seminar itu adalah strategi inovatif berasaskan data dan bukti untuk menangani isu kanak-kanak dan belia tidak bersekolah.
"Ia juga menekankan pengukuhan kerjasama dan integrasi teknologi canggih, khususnya kecerdasan buatan untuk meningkatkan kualiti data dan menyokong program intervensi yang berimpak tinggi, manakala aktiviti Children's Co-Lab dilaksanakan bagi memperkasakan suara dan pandangan murid," menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan seminar itu yang dirasmikan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyerlahkan iltizam semua pihak untuk menangani isu keciciran murid dan memastikan peluang pendidikan berkualiti untuk semua.
Menurut KPM, penganjuran seminar dengan sokongan dan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia itu telah menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk dari negara anggota ASEAN, Mongolia, China dan India.
Turut serta ialah rakan strategik seperti UNICEF, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).
Kenyataan itu memaklumkan, Fadhlina turut melancarkan Sistem Pengesanan Murid KPM (SiPKPM) yang menggunakan analitik ramalan untuk mengenal pasti laluan pembelajaran dan kerjaya yang diperibadikan bagi murid berisiko atau telah tercicir, sekali gus mengukuhkan komitmen Malaysia terhadap strategi pengekalan dan pengintegrasian semula berasaskan data.
-- BERNAMA
