Pendidikan Tinggi Main Peranan Utama Bentuk Masa Depan Serantau - Setiausaha Agung ASEAN
PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Pemimpin dan institusi pendidikan tinggi ASEAN perlu memainkan peranan dalam memacu transformasi bagi mencapai Visi Komuniti ASEAN 2045, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Beliau berkata meskipun ASEAN telah merangka pelan strategik bagi setiap tonggak komuniti, pendidikan tinggi perlu melangkaui lebih daripada sekadar penyelarasan dan memainkan peranan utama dalam membentuk masa depan rantau ini.
“Pelan Strategik Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) menetapkan pendidikan sebagai pemangkin bagi mencapai kesaksamaan dan pembangunan mampan. Agenda ASCC menekankan kepentingan meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat serta menyepadukan kemahiran hijau ke dalam kurikulum,” katanya dalam ucaptama pada Festival IDEA Putrajaya 2025 di sini hari ini.
Kao berkata Pelan Tindakan Pendidikan ASEAN 2026-2030 akan menjadi asas bagi kerjasama pendidikan serantau, dengan menumpukan kepada mobiliti, transformasi digital serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau turut menekankan enam “bintang panduan” bagi transformasi pendidikan tinggi iaitu kebolehsuaian, impak penyelidikan, kepimpinan baharu, kesiapsiagaan terhadap kecerdasan buatan (AI), kesihatan planet serta kepimpinan dalam TVET.
“Pertamanya, kita perlu beralih daripada kurikulum jumud kepada pembelajaran adaptif dan pendidikan berteraskan nilai. Dunia tidak lagi memerlukan siswazah yang sekadar mengetahui fakta sebaliknya memerlukan mereka yang tangkas dan berdaya tahan yang mampu melupakan cara lama dan mempelajari cara baharu,” katanya menambah pendidikan tinggi dan TVET perlu berkembang seiring dengan keperluan industri dan menerapkan pembelajaran sepanjang hayat.
Kao berkata kebolehsuaian tanpa pegangan moral adalah sia-sia dan menyeru supaya prinsip Piagam ASEAN iaitu menghormati kepelbagaian, komitmen terhadpa keamanan serta kesejahteraan bersama disepadukan dalam pengajaran bagi melahirkan warganegara ASEAN yang bertanggungjawab dan pemimpin yang beretika.
Mengenai prinsip panduan kedua, beliau berkata penyelidikan perlu menumpukan kepada penyelesaian dunia nyata seperti pertanian lestari, penjagaan kesihatan mampu milik, serta teknologi hijau untuk komuniti ASEAN.
Kao turut menekankan Deklarasi Bersama mengenai Ruang Bersama dalam Pendidikan Tinggi Asia Tenggara yang diterima pakai oleh Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN pada Ogos 2024 di Buriram, Thailand, yang bermatlamat menyelaraskan sistem serantau dan menggalakkan mobiliti.
Malaysia, katanya, akan mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu bagi Ruang Bersama Pendidikan Tinggi ASEAN pada April depan.
Bagi panduan ketiga, beliau menekankan kepentingan mewujudkan laluan kepimpinan bagi sarjana muda dan menggesa perubahan daripada budaya “publish or perish” yang mengekang inovasi serta pembimbingan.
Mengenai AI, Kao berkata ASEAN perlu menghadapi cabaran memimpin pendidikan tinggi dalam era AI.
Beliau turut menekankan keperluan terhadap rangka kerja tadbir urus AI yang berorientasikan ASEAN dan literasi digital penting, sambil merujuk kepada inisiatif “AI Ready ASEAN” oleh Yayasan ASEAN yang dibiayai menerusi geran USD5 juta daripada Google.org untuk meningkatkan literasi AI di seluruh rantau ini.
Menurut Kao, kesihatan planet pula perlu diintegrasikan ke dalam semua disiplin akademik dan tidak hanya terhad kepada kajian alam sekitar.
Beliau turut menyeru agar kepimpinan TVET di rantau ini dipertingkat dan ditransformasikan, di samping menekankan bahawa dalam era AI dan transformasi digital, TVET adalah teras utama bagi kekuatan ekonomi.
“Kesemua enam bintang panduan yang kita tetapkan ini sememangnya penting, namun tidak akan bermakna sekiranya tidak disokong dengan tindakan berani,” katanya sambil menekankan kekuatan ASEAN terletak pada kesatuan dan komitmen bersama kepada “Satu Wawasan, Satu Identiti dan Satu Komuniti".
Kao turut mengingatkan bahawa jika tiada tindakan diambil, ASEAN berisiko kehilangan bakat terbaik dan siswazah yang tidak akan bersedia menghadapi cabaran akan datang.
-- BERNAMA
