ASEAN Perlu Perkukuh Keselamatan Siber Seiring Penerimagunaan Digital - AWS
Daripada Siti Noor Afera Abu
LAS VEGAS, 3 Dis (Bernama) -- Kalangan negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia memerlukan perlindungan siber lebih kukuh seiring usaha mempercepat penerimagunaan dan pelaksanaan digital, kata Amazon Web Services (AWS).
Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat AWS, CJ Moses berkata ini berikutan ancaman siber yang semakin berkait rapat dengan ancaman fizikal serta perlu ditangani secara bersama oleh organisasi atau pihak terbabit.
Beliau berkata penyerang atau penjenayah siber ini lazimnya bertindak mengeksploitasi sistem dalam talian yang tidak dilindungi dengan baik, termasuk perisian lapuk serta kawalan akses yang lemah.
“Banyak syarikat dan agensi kerajaan masih mengabaikan amalan asas keselamatan siber seperti kemas kini perisian secara berkala dan pengesahan berbilang faktor.
“Ini sekali gus meningkatkan risiko terhadap serangan. Isu-isu keselamatan asas ini adalah risiko terbesar terhadap perniagaan selain kerajaan dan syarikat-syarikat kecil di serata ASEAN,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama di luar acara AWS re:Invent 2025.
Acara yang berlangsung pada 1-5 Disember 2025 di sini, merupakan persidangan teknologi terbesar AWS yang turut menghimpunkan kira-kira 60,000 penggiat industri.
Mengulas Malaysia, Moses berkata seiring pengembangan penerimagunaan pengkomputeran awan dan sistem berasaskan kecerdasan buatan, kalangan organisasinya mesti bertindak memperkukuh keselamatan siber bagi melindungi data sensitif dan infrastruktur digital.
“Tindakan sedemikian adalah amat penting bagi negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia ketika penggunaan awan dan AI meningkat, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi digital lebih selamat di rantau ini,” katanya.
Beliau juga menyifatkan aspek pengurusan identiti dan akses yang kukuh serta kawalan akses istimewa yang teratur sebagai langkah penting dalam mengurangkan risiko berkenaan.
“Keselamatan siber yang proaktif serta segenap lapisan adalah amat penting bagi ASEAN untuk mengekalkan keyakinan serta daya tahan ketika rantau ini terus menjalani transformasi digital,” katanya.
Bagi AWS sendiri, Moses berkata usaha menangani ancaman itu dilakukan dengan menggunakan mekanisme perisikan ancaman canggih seperti sistem MADPOT dan Mithra bagi mengesan sebarang serangan lebih awal serta memberi maklumat mengenai aktiviti berniat jahat, sekali gus dapat membantu AWS dalam usaha melindungi pelanggan.
“Sistem ini juga menjejaki kaedah operasi penyerang, termasuk aktiviti pengimbasan, peninjauan serta eksploitasi sebarang kelemahan. Kami turut mempelajari tindakan ini bagi memperkukuh keselamatan serta mencegah serangan sebelum ia sempat berlaku,” katanya.
-- BERNAMA
