Kejayaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 Dapat Perhatian Dunia - Mohamad Hasan
SERDANG, 19 Jan (Bernama) -- Kejayaan negara dalam menganjurkan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 termasuk menghimpunkan pemimpin dunia mendapat perhatian pada peringkat antarabangsa, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata selain aspek logistik yang baik, negara berjaya mencatatkan keberhasilan dan kejayaan membanggakan sepanjang memegang jawatan Pengerusi ASEAN.
“Kita telah berjaya menjadi Pengerusi ASEAN 2025 walaupun kita melalui berbagai-bagai masalah dalam geopolitik dunia yang tidak menentu.
“Kita berjaya membawa pemimpin-pemimpin (dunia), mengadakan ASEAN-GCC, ASEAN-GCC-China. Kita berjaya mengadakan Sidang Kemuncak 46 dan akhirnya Sidang Kemuncak pula 47. Ini menjadi perhatian dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di sini hari ini yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mohamad berkata Malaysia juga sentiasa mendapat kepercayaan ASEAN kerana dipilih menjadi permanent shepherd ataupun pengemudi kepada Visi Komuniti ASEAN 2045 untuk 20 tahun yang akan datang.
“Jadi inilah kepercayaan masyarakat ASEAN terhadap Malaysia. Sehinggakan kedua-dua negara bersahabat Thailand dan Kemboja bersengketa tentang masalah sempadan, mereka datang ke Malaysia untuk menyelesaikan masalahnya.
“Jadi ini suatu kebanggaan kepada kita sebagai tuan rumah, penyelaras, pemudah cara (semasa menjadi Pengerusi ASEAN),” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 sama ada sektor kerajaan atau swasta
“Kita dapat mengurus kedatangan, ketibaan pemimpin-pemimpin negara dari seluruh dunia, bukan calang-calang yang datang,” katanya.
Pada Oktober tahun lepas, Malaysia secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, secara simboliknya menandakan peralihan kepimpinan ketika Malaysia memasuki fasa akhir selaku pengerusi bagi tahun 2025.
Sejak mengambil alih dari Laos, Malaysia telah menumpukan kepada usaha memperkukuh perpaduan, keterangkuman dan kemampanan.
Dua pencapaian penting yang menandakan kejayaan sepanjang kepengerusian ini, iaitu kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN serta pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Kemboja dan Thailand.
Sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967, ini kali kelima Malaysia menggalas tanggungjawab selaku pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
