ASEAN Digesa Laksana Peralihan Tenaga Hijau
Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 22 Jan (Bernama) -- Ketika perbincangan mengenai bahan api bersih rancak berlangsung di Forum Ekonomi Dunia di Davos, terdapat desakan di ASEAN supaya kerajaan beralih kepada tenaga boleh diperbaharui dalam usaha melindungi alam sekitar.
Pemimpin politik dan pakar tenaga memperjuangkan penggunaan tenaga hijau bagi memerangi perubahan iklim daripada bergantung pada bahan api fosil yang mencemarkan lapisan ozon.
ASEAN bergantung sebahagian besarnya pada bahan api fosil iaitu arang batu dan gas untuk tenaga.
“Negara ASEAN perlu meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui untuk memenuhi matlamat kemampanan jangka panjang.
Bagi mencapai skala penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang diperlukan untuk peralihan, perlu ada cita-cita lebih kuat disertakan dengan tindakan dasar yang berani dan terancang," kata Penganalisis Tenaga Kanan Ember Dr Dinita Setyawati kepada Bernama dari Jakarta.
Ember ialah badan pemikir mengenai tenaga yang berpangkalan di UK.
Arang batu kekal sebagai komponen dominan dalam landskap tenaga ASEAN, menyumbang 43.2 peratus daripada penjanaan elektrik pada 2023 dan 30.5 peratus daripada campuran tenaga utama pada 2022, menurut Pusat Tenaga ASEAN.
“Memandangkan 30 peratus penjanaan elektrik di ASEAN berasal daripada gas pada 2024, sumber tenaga ini terus mewujudkan risiko kepada bekalan tenaga ASEAN.
“Harga gas tidak menentu sejak beberapa tahun lepas justeru memerlukan pelarasan semula dalam permintaan dan membawa kepada permintaan untuk LNG (gas asli cecair) yang lebih mahal,” kata Dinita.
Negara paling ramai penduduk di Asia Tenggara, Indonesia, menetapkan sasaran untuk meningkatkan tenaga boleh diperbaharui kepada 23 peratus daripada campuran tenaganya menjelang 2030.
Begitu juga Malaysia yang menyasarkan untuk mencapai 40 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Filipina pula menetapkan sasaran yang sama untuk mempromosikan sumber tenaga bersih dalam tempoh empat tahun akan datang.
Pada Forum Ekonomi Dunia pada 19 hingga 23 Jan ini di Davos, China dan India, masing-masing ekonomi kedua dan keempat terbesar dunia, telah menyatakan komitmen untuk menggunakan bahan api bersih bagi memacu ekonomi.
Naib Perdana Menteri China He Lifeng dalam ucapan khas di Davos berkata China telah melaksanakan sistem tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia dan rantaian industri tenaga baharu paling lengkap.
“Kami akan mengawal kedua-dua jumlah dan intensiti pelepasan karbon secara menyeluruh dan berusaha untuk mencapai kemuncak pelepasan karbon sebelum 2030 dan neutraliti karbon sebelum 2060," katanya.
Sementara itu, Menteri Tenaga Baharu dan Diperbaharui India Pralhad Joshi berkata negara itu "berusaha ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui dengan keyakinan bahawa ia sebagai laluan pertumbuhan yang paling dipercayai, mampu milik dan bersedia untuk masa hadapan."
Dinita berkata objektif utama peralihan tenaga ASEAN adalah untuk memastikan penyelarasan jangka panjang dan perancangan menyeluruh.
“Dengan Grid Kuasa ASEAN, ekonomi yang memerlukan kuasa (elektrik) seperti Singapura memperoleh fleksibiliti lebih besar melalui perdagangan rentas sempadan tenaga elektrik boleh diperbaharui.
“Sambungan kuasa serantau membolehkan negara yang mempunyai sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak mengeksport tenaga bersih, mengurangkan pergantungan kepada penjanaan bahan api fosil domestik terutamanya arang batu,” kata Dinita.
-- BERNAMA
