Kluang TV Coffee Rekod 91,056 Pelawat Tahun Lepas, Terima Pengiktirafan ASEAN Records

Kredit: ASEAN Records
22/01/2026 09:34 PM

KLUANG, 22 Jan (Bernama) -- Jenama kopi tempatan, Kluang Coffee Powder Factory Sdn Bhd (Kluang TV Coffee) menerima pengiktirafan “Kilang Kopi Warisan Diperakui Negeri Paling Banyak Dikunjungi Dalam Setahun” daripada ASEAN Records, bersempena sambutan ulang tahun ke-60 jenama tersebut.

Kluang TV Coffee menerima pengiktirafan tersebut, selepas berjaya merekodkan seramai 91,056 pelawat berdaftar sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun lepas dan perkara itu telah disahkan oleh ASEAN Records.

“Pencapaian tersebut mengiktiraf peranan kilang berkenaan sebagai tapak warisan budaya kopi yang turut diiktiraf oleh kerajaan negeri (Johor) serta sumbangannya dalam mempromosikan budaya kopi tempatan dan sektor pelancongan,” menurut kenyataan Kluang TV Coffee.

Kredit: ASEAN Records

Pengiktirafan berkenaan disampaikan Pengarah Urusan ASEAN Records Gillian Ooi kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kluang Coffee Powder Factory Goh Yong Kian pada Majlis Pengiktirafan ASEAN Records dan Majlis Pecah Tanah Projek Pembesaran Kilang, di sini hari ini.

Kluang TV Coffee atau nama asalnya Kopi Kluang Cap Televisyen mula diasaskan sejak 1966 di Jalan Mersing dan kini diusahakan oleh generasi ketiga jenama itu.

Kluang TV Coffee memaklumkan majlis pecah tanah bagi pembesaran kilang di tapak bersebelahan kilang sedia ada, melambangkan kemajuan jenama pengeluar Kopi Cap Televisyen itu ke fasa pembangunan seterusnya tanpa mengabaikan asas tradisi pembuatan kopi. 

Kredit: ASEAN Records

Sementara itu Goh ketika ditemui berkata pengiktirafan berkenaan penting bagi pihaknya, sebagai bukti bahawa Kopi Cap Televisyen tetap menjadi pilihan walaupun telah 60 tahun berada dalam pasaran.

“Antara sebab utama Kluang TV Coffee tetap menjadi pilihan ialah resepi yang sama sejak hari pertama ia dibuka menerusi mendiang datuk saya Goh Tong Tor,” katanya.

Goh berkata beliau turut mengekalkan teknik daripada menyangai sehinggalah teknik bru kopi daripada datuknya itu, selain turut meneruskan tradisi untuk berkongsi teknik pembuatan kopi kepada umum.

Ketua Pegawai Eksekutif Kluang TV Coffee, Goh Yong Kian (dua, kanan), mendengar penerangan daripada Pegawai Daerah Kluang, Azurawati Wahid (dua, kiri), dan Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abdul Rahim (kiri), pada Sambutan Ulang Tahun ke-60 Kluang TV Coffee di Kluang Coffee Powder Factory Sdn Bhd, hari ini.

“Tidak semua kilang kopi di negara ini mahu berkongsi teknik pembuatan kopi tetapi berbeza dengan kami, daripada biji kopi sampai ke dalam cawan untuk dinikmati, pengunjung boleh lihat di sini.

“Kami memilih tiga jenis biji kopi iaitu jenis Robusta dari Indonesia, Arabica dari Brazil dan Liberica (tempatan), kerana ia bukan sahaja menjadi pilihan penggemar kopi dalam negara tetapi turut diminati oleh pengunjung luar.

Beliau berkata pihaknya turut menggabungkan teknologi lama dan terkini untuk penghasilan kopi yang lebih banyak, dengan mampu memproses lebih kurang 5,000 kilogram kopi dalam masa sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kluang TV Coffee, Goh Yong Kian, menunjukkan antara produk kopi keluaran syarikatnya pada Sambutan Ulang Tahun ke-60 Kluang TV Coffee di Kluang Coffee Powder Factory Sdn Bhd, di sini hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Walaupun pengeluaran kopi kita tumpukan lebih untuk pasaran tempatan, tetapi jualan telah mula menembusi beberapa negara ASEAN iaitu Singapura, Brunei dan Filipina,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut bercadang meningkatkan pengeluaran sehingga tiga kali ganda bagi menembusi pasaran negara ASEAN lain, setelah projek pembesaran kilang siap dan beroperasi kelak. 

“Tahun ini kami turut merancang mengeluarkan produk baharu yang dikenali sebagai ‘Kopi Tulen’ yang dihasilkan tanpa campuran gula dan marjerin, sekali gus menjadikan jenama ini sebagai produk kopi sihat dan sesuai untuk dinikmati oleh semua,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kluang TV Coffee, Goh Yong Kian (dua, kanan), menunjukkan plak pengiktirafan ASEAN Records yang dianugedi sirahkan kepada syarikat itu sebagai "Kilang Kopi Warisan Diperakui Negeri Paling Banyak Dikunjungi dalam Setahun" kepada Pegawai Daerah Kluang, Azurawati Wahid (tengah), dan Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abdul Rahim (dua, kiri), pada Sambutan Ulang Tahun ke-60 Kluang TV Coffee di Kluang Coffee Powder Factory Sdn Bhd.

Tourism Johor dalam hantaran di Facebook pula memakluman pengiktirafan ini, mengukuhkan kedudukan Kluang TV Coffee sebagai ikon warisan kopi tempatan dan tarikan pelancongan utama Johor, selari aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

-- BERNAMA