Jangan Hanya Bergantung Kepada Pelarasan Tarif, Malaysia Perlu pelbagaikan Asas Eksport

24/02/2026 10:29 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah & Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Malaysia sebagai negara yang sebahagian besarnya berorientasi eksport tidak boleh bergantung semata-mata kepada pelarasan tarif untuk meningkatkan daya saing sebaliknya perlu mempelbagaikan asas eksport, kata Ahli Ekonomi Nadia Jalil.

Beliau berkata ASEAN perlu memperkukuh kedudukan sebagai blok ekonomi dan perdagangan dengan mempertingkatkan integrasi, meningkatkan kuasa tawar-menawar, serta muncul sebagai blok perdagangan ketiga terbesar dunia bagi menangkis ketidaktentuan akibat kekacauan tarif global.

Bagaimanapun, tarif baharu 15 peratus yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terhadap rakan dagang AS akan menjadikan eksport Malaysia lebih berdaya saing berbanding tarif 19 peratus mengikut Perjanjian Tarif Timbal Balas (ART) yang dimeterai antara kedua-dua negara pada Oktober lepas, katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam program “The Nation” terbitan Bernama TV bagi mengupas tajuk “Perdagangan Global Susulan Ketegangan Geopolitik” yang dikendalikan oleh Jessy Chahal.

Beliau berkata keadaan itu bergantung kepada tindakan Washington sama ada mengenakan kadar yang sama terhadap negara lain yang mengeksport barangan serupa ke AS.

 

Pelbagai Destinasi Eksport, Perkukuh Integrasi ASEAN

 

Nadia berkata dalam menyambut baik kadar baharu tarif AS di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, Malaysia perlu terus mempelbagaikan destinasi eksport, mengurangkan kebergantungan kepada AS serta memperkukuh daya tahan luaran.

“Kita seharusnya gembira dengan tarif yang lebih rendah kerana ini bermakna eksport kita lebih berdaya saing.

“Selain itu, penting untuk Malaysia berada dalam kedudukan yang memiliki kelebihan berbanding negara lain yang mengeksport barangan yang sama ke AS,” katanya.

Beliau berkata pengukuhan integrasi ASEAN akan menyediakan skala pasaran kolektif dan kuasa tawar-menawar yang lebih besar kepada Malaysia, sekali gus membolehkan negara ini mengharungi ketidaktentuan akibat perubahan dasar perdagangan global dengan lebih berkesan.

“Langkah pertama sebenarnya adalah memperkukuh ASEAN sebagai satu blok ekonomi dan perdagangan kerana kekuatan terletak pada angka.

“Apabila menyatakan ASEAN sebagai satu pasaran yang besar, ASEAN berpotensi menjadi blok perdagangan ketiga terbesar di dunia. Itulah arah yang perlu dituju ASEAN,” katanya.

Beliau berkata fungsi tarif terutamanya adalah sebagai duti import yang dikenakan ke atas pengguna di negara pengimport.

Oleh itu, kadar tarif yang lebih rendah boleh membantu mengekalkan permintaan terhadap barangan Malaysia walaupun langkah perlindungan perdagangan masih diteruskan.

“Ini memandangkan pihak yang membayar tarif bukanlah pengeksport tetapi pengguna yang akan menanggungnya kerana ini adalah duti import,” katanya.

Nadia berkata bagaimanapun, Malaysia perlu terus peka terhadap potensi perkembangan tarif khusus sektor terutama dalam segmen eksport utama seperti elektrik dan elektronik (E&E), termasuk semikonduktor, yang terus menyokong prestasi perdagangan negara.

Pakar ekonomi itu berkata daya saing jangka panjang negara akan bergantung kepada penambahbaikan struktur di seluruh industri.

Perkara itu termasuk beralih kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah tinggi dalam sektor pembuatan dan berasaskan sumber seperti minyak sawit serta industri berkaitan petroleum -- faktor yang melangkaui perkembangan tarif.

“Kita sering mendengar mengenai peningkatan dalam rantaian nilai, bukan sahaja dalam sektor E&E malah juga dalam sektor lain seperti industri berasaskan sumber seperti minyak sawit.

“Kita juga sentiasa perlu beralih kepada aktiviti bernilai tambah tinggi,” katanya.

Pada sesi Parlimen hari ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan mengenai ART di AS, mengambil tindakan susulan terhadap langkah yang diambil oleh Trump serta meneliti pelbagai aspek bagi melindungi kepentingan ekonomi dan perdagangan Malaysia.

Pada 20 Feb 2026, Mahkamah Agung AS telah membatalkan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) yang menjadi asas tindakan Trump, termasuk membabitkan tarif timbal balas.

Trump juga dilaporkan akan menaikkan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus susulan keputusan Mahkamah Agung AS itu yang membatalkan kebanyakan langkah perdagangan yang diperkenalkannya sebelum ini.

Menerusi akaun di Truth Social pada Sabtu, Trump berkata kenaikan itu, yang akan dilaksanakan mengikut Seksyen 122, akan berkuat kuasa serta-merta dan lebih tinggi daripada tarif sedia ada.

-- BERNAMA